RASA geram ada, marah pun ada apabila kawan-kawan Kedai Kopi melihat segelintir orang ramai yang tidak mematuhi peraturan. Ambil contoh menghisap rokok di premis awam, termasuk premis makanan dan minuman.
Bukan tidak tahu larangan merokok di tempat awam sudah lama dikuatkuasa. Namun dengan sengaja dan tanpa rasa bersalah melanggar peraturan sesuka hati. Tidak peduli untuk mematuhinya, tambahan apabila merasakan tidak ada yang memerhati atau memantau.
Geram sungguh apabila sedang enak menjamu selera, ada yang berada dalam premis sama menghisap rokok dengan asap berkepul-kepul memenuhi udara. Ini ditambah dengan sembang kuat berdegar-degar jika dalam kumpulan.
Tentu sahaja perbuatan ini mencemar persekitaran serta mengganggu orang ramai, terutama yang tidak merokok. Hendak ditegur boleh mencetus masalah. Pemilik premis pun biasanya tidak cukup berani menegur kelompok ini.
Sudah diketahui merokok membahayakan kesihatan. Jika tidak peduli pun, jangan menghisap di tempat larangan sehingga tempiasnya memudaratkan orang lain. Biar diri sendiri sahaja tanggung akibat, jangan libatkan orang lain.
Kawan-kawan Kedai Kopi perhatikan, pada peringkat awal larangan merokok di premis makanan dahulu, ia dipatuhi. Penguatkuasaan juga ketat menyebabkan perokok takut untuk melanggar peraturan.
Namun lama-kelamaan dan penguatkuasaan sudah agak longgar, perangai lama kembali. Pada fikiran mereka orang ramai sudah lupa mengenai larangan tersebut sedangkan peraturan itu tidak pernah dimansuh.
Janganlah mengharap penguatkuasaan sepanjang masa baharu hendak patuh. Penguat kuasa juga ada kerja lain hendak dilakukan. Sebaliknya tanamlah kesedaran sivik yang tinggi dalam diri. Patuhi peraturan sebagai peraturan, bukan kerana takut pada penguatkuasaan.