Berita

Senario tak tahu keberadaan Yassin

- Diterbit 20 Januari 2025 12:59 PM MYT

KUMPULAN Senario enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung ketiadaan salah seorang anggotanya Yassin Yahya sejak beberapa bulan lalu.

Spekulasi kehilangan pelawak itu diperkuatkan lagi apabila kelibat Yassin tidak kelihatan pada acara pengumuman Duta Jakel yang berlangsung Sabtu lalu.

Anggota Senario, Wahid, 49, mengakui tidak tahu berhubung keberadaan rakannya itu.

Wahid juga mengakui tidak mengetahui berkenaan dakwaan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi, atas kesalahan dadah sejak Oktober lalu ada kaitan dengan sahabatnya.

“Maaf, tak boleh cakap begitu (tuduhan mengenai Yassin) sebab kami sendiri pun tak cakap begitu.

“Saya tak tahu apa-apa, takut nak cakap benda yang bukan-bukan sebab kita sendiri tak tahu apa cerita sebenar.

“Saya menetap di Ipoh, Perak manakala yang lain di Kuala Lumpur (KL). Bila orang beritahu suruh datang KL, saya datang sebab ada ‘job’.

“Kami memang tak tahu apa-apa mengenai Yassin. Mungkin dia tengah banyak duit dan sedang duduk bersantai? Sebab itu dia senyap saja,” katanya yang ditemui di Majlis Pengumuman 10 Duta Kempen Raya Mendonia Jakel, Sabtu lalu.

Pada majlis tersebut, Senario diumumkan antara 10 selebriti terpilih sebagai duta Jakel sekali gus menyaksikan mereka sebaris dengan Fattah Amin, Amira Othman, Anzalna, Elly Mazlein serta ramai lagi.

Ujar Wahid berhubung isu Yassin, dia dan anggota Senario lain tidak pernah masuk campur hal peribadi masing-masing sejak dulu lagi.

“Sejak awal saya tak tahu di mana dia. Memanglah kami ada kumpulan Whatsapp, tetapi kami hanya berurusan mengenai kerja sahaja dari dulu memang kami begitu.

“Habis kerja, masing-masing akan sibuk dengan dunia masing-masing. Bila kita bekerja sekali, melepak sekali, itu yang jadi masalah.

Sebelum ini media melaporkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.

Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas