Berita

Semua sekolah termasuk sekolah vernakular guna Dasar Pendidikan Kebangsaan

Gambar hiasan
- Diterbit 10 Disember 2024 11:33 AM MYT

SEMUA sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan menggunakan kurikulum kebangsaan dan melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan di Dewan Rakyat, berkata Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) merupakan institusi pendidikan di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan seperti diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996.

“Seksyen 18 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] menyatakan Kurikulum Kebangsaan hendaklah digunakan oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

“Kurikulum Kebangsaan adalah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum.

“Ini merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan,” ujar KPM dalam kenyataannya.

KPM menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan adakah sekolah vernakular di negara ini mengikuti sepenuhnya Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ketatanegaraan dalam sukatan kurikulum dan kokurikulum mereka.

Menurut KPM lagi, Dasar Pendidikan Kebangsaan dapat menjamin kualiti pendidikan yang seimbang dan menyeluruh.

Di samping memupuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas