Berita

Semua CCTV boleh diakses PDRM

- Diterbit 16 November 2024 3:11 AM MYT

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa untuk mengakses kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara bagi membantu siasatan jenayah atau melindungi orang awam.

Perkara itu ditegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merujuk kepada Akta Polis 1967.

Justeru jelas kementerian itu, secara umumnya kesemua CCTV yang berada di negara ini boleh diakses atas justifikasi berkenaan.

“Pemilikan CCTV ini terdiri daripada pelbagai milikan termasuk kerajaan, swasta, individu persendirian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak dapat diperincikan bilangan secara keseluruhannya.

“Sekiranya pemilik tidak memberikan kerjasama untuk berkongsi rakaman tersebut, pihak polis boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 186, Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan fungsi jawatannya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KDN menjawan soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai bilangan CCTV di seluruh negara yang boleh diakses PDRM untuk siasatan jenayah.

Kementerian itu menambah, berkenaan jumlah bajet tambahan untuk liputan optimal CCTV Persekutuan, KDN melalui agensi di bawahnya bersedia memberikan kerjasama kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, ia untuk menentukan kawasan jenayah dan nasihat lokasi pemasangan CCTV yang sesuai.

Walau bagaimanapun jelasnya, perkara itu tertakluk kepada kemampuan kewangan pihak PBT atau Kerajaan Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas