SEMANGAT perpaduan antara kaum, kestabilan politik serta keprihatinan terhadap kebajikan rakyat adalah antara fokus utama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam memayungi rakyat Malaysia.
Penganalisis Politik Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (COLGIS-UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata kesemua aspek tersebut dapat dilihat apabila Seri Paduka Baginda sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“Seri Paduka Baginda amat menekankan konsep perpaduan masyarakat majmuk yang terdapat di negara dengan menghormati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Malah di awal pemerintahannya juga, Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua lapisan rakyat tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, raja) bagi mengekalkan kesejahteraan negara yang telah terbina sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.
Tambah Ahmad Martadha, perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama adalah resipi kepada kemakmuran serta kemajuan negara yang digapai pada hari ini.
“Saya kira, sudah pasti isu perpaduan akan sentiasa ditekankan kerana Seri Paduka Baginda amat mementingkan isu perpaduan.
“Saya pasti sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda untuk sentiasa menekankan aspek itu dan tiada pihak yang berani mencabar perpaduan kaum yang terbina di negara ini,” kata beliau.
Jelasnya, Seri Paduka Baginda juga amat menitikberatkan soal kestabilan politik untuk terus membangunkan negara.
“Semua rakyat pasti ingin melihat Agong untuk terus memacu kestabilan politik negara yang akan memberi impak atau faedah terutama dari segi ekonomi dan masyarakat.
“Seri Paduka Baginda pernah bertitah menegaskan sekiranya ada pihak yang hendak bermain politik, mereka perlulah menunggu pada masa pilihan raya akan datang.
“Seri Paduka Baginda juga berharap semua ahli yang berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat terutamanya, bukan untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri.
“Justeru itu, dapat dilihat Sultan Ibrahim amat tegas agar tiada pihak yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara,” katanya.
Ahmad Martadha menegaskan, perkara ini amat penting apatah lagi, beberapa tahun lepas, suasana politik negara kucar-kacir sehingga menganggu ketumbuhan ekonomi negara.
“Saya kira, Seri Paduka Baginda tidak akan beri peluang kepada mana-mana ahli politik mengganggu kestabilan politik dalam negara.
“Malah, mana-mana individu yang berusaha untuk menganggu gugat atau ada agenda-agenda tersendiri akan ditegur secara keras,” jelasnya.
“Kita dapat lihat dalam suasana ekonomi dunia yang tidak stabil dan negara sangat-sangat memerlukan kestabilan politik untuk pastikan pembangunan ekonomi dan sosial dapat dicapai,” ujarnya.
Ahmad Martadha turut menjelaskan Sultan Ibrahim amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan mahu semua rakyat dibela nasib mereka.
“Seri Paduka Baginda sentiasa mendengar keperluan rakyat secara peribadi malah memikirkan cara yang terbaik untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Ia jelas membuktikan Sultan Ibrahim meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang tertinggi terutamanya dalam membela nasib golongan rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Antaranya semasa bencana berlaku, Seri Paduka Baginda sanggup meredah banjir bagi meninjau sendiri keadaan yang menimpa penduduk.
“Malah, Seri Paduka Baginda juga turut menghulurkan bantuan daripada segi bakul makanan, sumbangan peribadi, serta mengusahakan untuk membaiki atau membina semula penempatan akibat bencana tersebut,” katanya.
Sementara itu, media tempatan turut melaporkan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu temu bual khas baru-baru ini berkongsi bahawa isu-isu melibatkan kehidupan rakyat dan perpaduan kaum sentiasa menjadi topik perbincangan antara beliau dengan Sultan Ibrahim termasuk dalam situasi tidak formal dan santai seperti ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ).
“Saya selalu berkongsi kenderaan dengan Seri Paduka Baginda ketika mengunjungi daerah-daerah Johor dalam program KMJ.
“Sultan Ibrahim gemar bercerita mengenai sejarah Johor dan daerah-daerah yang dilawati. Pada masa sama mengingatkan saya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di setiap daerah berkenaan,” katanya.
Malah Onn Hafiz berkata Seri Paduka Baginda amat menitikberatkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama yang merupakan kunci kemakmuran serta kemajuan sesebuah negeri atau negara.
“Melihat cara Sultan Ibrahim mentadbir Johor, saya yakin Seri Paduka Baginda akan buat perkara sama di peringkat negara,” katanya.
Selain itu, Onn Hafiz berkata Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sememangnya berjiwa rakyat dan cakna dengan isu serta permasalahan yang dihadapi masyarakat pelbagai lapisan.
“Seri Paduka Baginda berdua memang raja yang tegas tetapi sangat penyayang sifatnya dan sangat menjiwai rakyat. Misalnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19, keluarga diraja Johor telah menyumbangkan lebih RM180 juta dalam tempoh singkat untuk membantu rakyat seluruh negeri.
“Apa sahaja yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda berdua akan menyentuh keperluan rakyat sebagai contoh keperluan tambahan hospital di negeri ini yang tidak mencukupi dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), syukur berkat titah Kebawah Duli Tuanku, kelulusan telah diberi untuk projek berkenaan,” katanya.
Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas. – WILAYAHKU