Berita

Sempena 100 tahun, MAHA tampil pelbagai tarikan baharu

- Diterbit 9 September 2024 2:35 PM MYT

LAPAN fokus utama dan enam tarikan baharu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA)  2024 bersempena dengan sambutan 100 tahun MAHA bakal menjadikan edisi kali ini antara penganjuran paling berprestij dan bersejarah.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pihaknya optimis dan bersiap sedia untuk menerima tiga juta pengunjung yang disasarkan pada penganjuran kali ini bersempena 100 Tahun MAHA.

Tambah beliau pihaknya juga berharap MAHA 2024 akan menjadi platform untuk mengeksplorasi potensi dan inovasi sektor pertanian yang bukan sahaja maju dan berteknologi tinggi, malah berdaya saing serta mampan dalam memacu ekonomi negara.

Dalam pada itu, menurut KPKM, Tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom mencerminkan aspirasi dan matlamat KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan.

“Ini dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.
Selain sasaran tiga juta pengunjung, MAHA edisi kali ini juga turut meletakkan beberapa sasaran lain antaranya RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU),” katanya dalam satu kenyataan.

KPKM juga berkata sasaran lain adalah memorandum perjanjian (MoA), RM40 juta nilai jualan langsung, RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dan 10 juta capaian media.

Katanya, sempena meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 juga akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan dan penyertaan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.

“Menerusi segmen MAHA Go Global, KPKM telah mempromosikan MAHA Go Global kepada negara-negara luar bagi turut serta mempamerkan teknologi pertanian, memadan perniagaan bersama usahawan tempatan di samping membuka peluang potensi pelaburan kepada sektor agromakanan negara.

“Sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Japan, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong dan beberapa negara eropah,” katanya.

Tambah KPKM, MAHA Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi.

KPKM berkata ia merupakan platform yang berharga untuk profesional industri bagi membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu.

“Tiga hari pertama iaitu 11 hingga 13 September 2024 dibuka khusus untuk komuniti perniagaan (B2B) di Dewan C dan bagi lain- lain segmen dibuka untuk dilawati oleh semua bermula 11 hingga 22 September 2024.

“Menerusi penganjuran MAHA 2024 sebanyak lapan fokus utama turut disasarkan iaitu sambutan 100 Tahun MAHA, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan MADANI, Teknologi, Agro Pelancongan, MAHA Go Global dan Pelaburan,” katanya.

Dalam pada itu KPKM berkata selain itu terdapat beberapa tarikan baharu yang akan menarik perhatian pengunjung iaitu Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan juga Floating Market.

Katanya, turut disediakan ruang glamping, motorhome dan sebagainya.

MAHA 2024 akan berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September ini dan akan menampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

“Ada elemen yang bersifat konvensional dan ada suntikan baharu khususnya untuk menarik penyertaan golongan muda untuk hadir beramai-ramai,” kata KPKM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas