Berita

Semoga PKR lebih cemerlang – Zaliha

- Diterbit 16 September 2024 9:17 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berharap PKR akan lebih cemerlang selepas Fuziah Salleh dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu. 

“Tahniah kekanda saya, Senator Fuziah Salleh atas pelantikan sebagai Setiausaha Agung PKR.

“Selamat bertugas dan semoga parti akan lebih cemerlang,” katanya di Facebook.

Semalam Fuziah yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR baharu berkuat kuasa serta-merta, bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Saifuddin Nasution yang merupakan Menteri Dalam Negeri telah melepaskan jawatan itu, bagi menumpukan usaha beliau sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik PKR dan Ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, perkara itu antara penyusunan semula beberapa jawatan penting yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam, dalam usaha untuk memantapkan gerak kerja parti.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, MPP PKR, turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dengan dianggotai Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh, Bendahari Agung William Leong, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Munim dan Timbalan Ketua Wanita Juwairiya Zulkifli, manakala Saifuddin dilantik sebagai penasihat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas