Berita

Seminar Kecemerlangan SPM: 300 pelajar terima manfaat

SEBAHAGIAN pelajar yang menyertai Seminar Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).
- Diterbit 23 Ogos 2024 7:48 PM MYT

BAGI membantu para pelajar golongan asnaf dan B40 mencapai keputusan cemerlang, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menganjurkan Seminar Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama empat hari itu disertai seramai 300 orang pelajar asnaf yang membabitkan sembilan buah sekolah di Labuan.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Ghulam Muszaffar Ghulam Mustakim, seminar tersebut diadakan untuk memberi tips dan teknik-teknik menjawab peperiksaan SPM bagi subjek wajib lulus iaitu Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

“YWP turut membantu para pelajar yang menyertai program ini membuka Akaun Simpan SSPN bagi pendidikan dan manfaat masa hadapan. Ia jelas menunjukkan betapa YWP peka dan prihatin,” ujarnya selepas Majlis Perasmian Seminar Kecemerlangan SPM 2024 yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

Dalam masa yang sama, Ghulam turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak khususnya agensi berkaitan untuk menganjurkan program-program pendidikan antaranya teknik-teknik pembelajaran yang berkesan.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Penasihat GiatMARA Labuan, Datuk Raffi Alli Hassan yang menyumbang sebanyak RM10,000 bagi membantu pelaksanaan seminar yang cukup bermakna kepada para pelajar di pulau ini,” katanya.

Majlis penutup tersebut dirasmikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Turut hadir Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir; Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan; Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, Fadzli Md Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, Norliza turut menzahirkan penghargaan kepada YWP kerana sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak PTPTN demi memberikan pendidikan yang terbaik kepada para pelajar di Labuan.

“Diharapkan program ini dapat membantu pelajar yang memerlukan untuk mendapatkan pendidikan terbaik sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas