SEMBILAN buah motosikal terbakar dalam satu insiden kebakaran di Blok C, Pangsapuri Sri Penara, Jalan Permaisuri, malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Mohd Hisam Mamat ketika dihubungi media berkata kebakaran itu melibatkan sembilan buah motosikal dengan enam daripadanya musnah 100 peratus manakala tiga lagi motosikal hanya 10 peratus terbakar.
“Insiden berkenaan turut membabitkan bilik kafa dengan kemusnahan dianggarkan lima peratus,” katanya.
Menurut Mohd Hisam, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadiaan pada pukul 9.41 malam.
“Susulan itu, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Razak bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS diarahkan dan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.56 malam.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,”katanya. – WILAYAHKU