MENJELANG Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyemarakkan semangat patriotisme melalui Program Semarakkan Semangat Malaysia Madani: Jiwa Merdeka di Menara Seri Wilayah hari ini.
Disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, program tersebut bagi menyambut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ada beberapa program yang kita laksanakan contohnya pada hari ini kita menyerahkan serta memasang Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan rasmi jabatan sempena Hari Kebangsaan 2024.
“Ini adalah permulaan ke arah sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti dan banyak lagi program lain bakal menyusul. Terima kasih di atas kerjasama dari pelbagai agensi yang terlibat,” ujar beliau.
Mengulas lanjut tentang persiapan sambutan pada 31 Ogos ini di Putrajaya, Zaliha berkata pihaknya dan agensi terlibat akan memastikan semuanya berjalan baik dan lancar seperti yang telah dirancang.
“Alhamdulillah, setakat ini sudah ada kerja awalan yang dilakukan seperti penyediaan pentas dan sebagainya. JWP juga turut menghantar petugas untuk membantu secara langsung dari sudut logistik,” ujar beliau.
Terdahulu, 25 buah kenderaan pelbagai jenis termasuk kenderaan rasmi menyertai pemasangan Jalur Gemilang. Antaranya JWP, Putrajaya Holdings, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Pusat Pencegahan Jenayah Nasional (NFCC), Angkatan Pertahanan Awam Negeri Wilayah Persekutuan (APAM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK).
Program Semarakkan Semangat Malaysia Madani: Jiwa Merdeka yang berlangsung turut diserikan dengan aktiviti mendekorasi 1,000 biji kek cawan bertemakan Hari Kebangsaan 2004 dengan kerjasama rakan strategik, Putrajaya Holdings dan The Everly Putrajaya.
Aktiviti tersebut bagi memperkukuhkan identiti kebangsaan Malaysia untuk menghargai kepelbagaian budaya, agama dan etnik yang menjadi kebanggaan negara. – WILAYAHKU