SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan sebuah badan berkanun di Perlis termasuk seorang Pengurus Akaun disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.
Perintah reman selama empat hari sehingga 11 Januari dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita berusia antara 30 dan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga tahun lalu.
“SPRM Perlis juga telah menyita dan merampas barangan mewah termasuk barangan kemas berjumlah kira-kira RM100,000 dipercayai diperoleh hasil daripada perlakuan jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, pihaknya juga akan melihat aspek tatakelola jika wujud kelemahan sistem dan prosedur berkaitan pengurusan terimaan dan perbelanjaan di badan berkanun tersebut bagi menutup ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa.
caption:
BARANGAN mewah yang disita dan dirampas susulan penahanan dua kakitangan sebuah badan berkanun yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.