Berita

Selenggara 21 hentian bas

DBKL perakui peranan komuniti khususnya dalam lukisan mural.
- Diterbit 24 Mac 2025 3:00 PM MYT
KERJA-KERJA menaik taraf dan mencantikkan hentian bas serta kios di ibu kota adalah sebahagian daripada program penyelenggaraan bandar menjelang Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa sebanyak 21 hentian bas dan kios terlibat dalam projek ini, dengan 18 daripadanya telah diselenggara setakat ini.

“Proses penyelenggaraan merangkumi kerja mengecat, membaik pulih struktur, serta menukar bumbung bagi memastikan hentian lebih selesa untuk kegunaan awam.

“Semua hentian bas dan kios diseragamkan dengan warna rasmi DBKL, iaitu kelabu gelap,” jelasnya.

Mengenai pemadaman lukisan mural di beberapa hentian bas dan kios, DBKL menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil kerana tiada permohonan rasmi diterima daripada pelukis atau pihak berkaitan sebelum mural itu dibuat dan tindakan pemadaman dilakukan selaras dengan prosedur penyelenggaraan sedia ada.

“Hentian bas dan kios yang terlibat dengan lukisan mural ini terletak di Jalan Raja Chulan (dua unit) dan Jalan Sultan Azlan Shah (satu unit).

“Selain itu, kios di Jalan Sultan Azlan Shah yang dalam keadaan uzur dan tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih telah diputuskan untuk dirobohkan,” katanya.

DBKL turut mengakui peranan komuniti seni dalam memperindahkan bandar raya, namun menekankan bahawa sebarang lukisan mural di tempat awam perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

“DBKL mengalu-alukan perbincangan serta cadangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada keindahan Kuala Lumpur secara sah dan terancang,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas