PENGALAMAN berharga yang dikongsi oleh selebriti popular iaitu Hael Husaini, Scha Alyahya, Wawa Zainal, Meerqeen dan Aina Abdul menjadi inspirasi buat warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) khususnya mahasiswa.
Menerusi program Bual Bicara: Seminar Komunikasi Antarabudaya yang berlangsung di Kolej Ungku Omar pada 2 Jun lalu, ia berjaya memberi perspektif berbeza anak seni di mata ribuan yang hadir pada acara itu.
Dianjurkan pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi (kursus seminar komunikasi antarabudaya) dengan kerjasama Ungku Omar Festival di bawah bimbingan Pensyarah, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad, bual bicara berbentuk ilmiah itu jelas menjadi medan segar untuk barisan artis terbabit lontarkan ilmu terpendam.

Memfokuskan kepada perkongsian mereka selaku anak seni yang juga sebagai duta kecil Malaysia di persada antarabangsa, ternyata masing-masing punya pendapat mengagumkan.
Bagi komposer dan penyanyi Hael Husaini yang pernah bekerja dengan produksi di Korea Selatan untuk sebuah program televisyen, katanya, mereka bangga memperkenalkan adat tradisi mereka.

Untuk itu, Hael menggunakan rencah yang sama untuk mempromosi budaya Malaysia.
“Walaupun mereka menggunakan artis-artis bernama besar, tapi agenda utama mereka adalah memperkenalkan adat-adat ataupun tradisi miliknya di mata dunia.
“Sama juga macam saya, saya kenalkan mereka pasal Malaysia, budaya, dan adab. Kalau sebagai Melayu, pasal adab itu tak perlu diterapkan lagi. Kita tinggi dengannya.
“Kita memang akan boleh hidup kalau campak ke negara mana pun. Yang penting kita kena bertoleransi, ada hal boleh dilakukan dan perlu hormat mengenai budaya mereka,” katanya.


Dikendalikan Wartawan Harian Metro, Sudirman Tahir selaku moderator, selain Hael, Scha dan Wawa pula banyak berkongsi pengalaman sebagai ahli perniagaan, manakala Meerqeen sebagai pelakon baharu.
Kemuncak program itu dihangatkan dengan kemunculan Aina mempersembahkan dua lagu iaitu I Will Go To You Like The First Snow nyanyian asal Ailee dan Terus Hidup. – WILAYAHKU
Foto: Terima kasih alipba.ta.
Instagram: @alipba.ta