PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk menyelaraskan pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan Undang-Undang Syariah.
Katanya, proses itu perlu dilaksanakan dengan teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta pandangan pakar undang-undang antarabangsa.
“Kita mahu supaya diteliti betul-betul dan tidak tergopoh-gopoh kerana sebaik sahaja dibentangkan, ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua negeri, mufti dan ulama.
“Malah, saya minta JAKIM dan Mohd Na’im untuk cuba menyelaraskan dan minta pandangan pakar perundangan, kerana harus dijadikan dokumen penting yang boleh ditelaah oleh pakar antarabangsa.
“Ini bukan satu dalil untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha lalu tetapi memang ada kelemahan besar dalam peruntukan dan bukan sahaja perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tapi harus melibatkan pakar antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan agenda Islam di bawah pentadbiran Kerajaan Madani tidak pernah dikesampingkan malah ia diperhebatkan untuk maslahah agama.
Katanya,konvensyen yang dirintis oleh pihaknya merupakan satu usaha untuk menambah baik pentadbiran agensi Islam denganmengambil langkah secara komprehensif dan holistik bagi meningkatkan imej Islam dalam negara.-WILAYAHKU