DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sedang merangka garis panduan komprehensif bagi pelaksanaan pembangunan semula Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata ia akan menggariskan pendekatan bersepadu yang selari dengan konsep 4P iaitu – Public, Private, People, Partnership.
“Berlandaskan kepada konsep 4P ini saya percaya akan dapat membantu untuk mentransformasi Kuala Lumpur ke arah bandar yang lebih mampan, berdaya tahan, berdaya huni dan disayangi oleh semua.
“Garis panduan ini bukan sekadar dokumen rujukan, tetapi satu panduan utama yang memastikan setiap inisiatif pembangunan semula di Kuala Lumpur dilaksanakan secara terancang, mampan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan MyKadaster 2025 berkenaan ‘Pelan Pelaksanaan Pembangunan Semula Kuala Lumpur’ anjuran Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) di ibu negara.
Maimunah menyatakan Kuala Lumpur telah melalui pelbagai fasa pembangunan yang menekankan pemulihan kawasan bandar, peningkatan kualiti hidup serta kemampanan ekonomi dan alam sekitar.
“Contoh kejayaan seperti pembangunan semula Razak Mansion dan Residensi Kerinchi menunjukkan bagaimana strategi pembangunan semula mampu meningkatkan taraf kehidupan penduduk serta mengoptimumkan penggunaan tanah di ibu kota,” katanya.
Maimunah berkata melalui peranan sektor awam (Public), dasar dan peraturan yang jelas akan disediakan bagi memacu pembangunan yang seimbang.
“Sektor swasta (Private) pula akan menjadi rakan strategik dalam merealisasikan projek-projek inovatif yang berimpak tinggi.
“Sementara itu, penglibatan masyarakat (People) adalah amat penting untuk memastikan pembangunan semula ini mengambil kira keperluan dan aspirasi warga kota.
“Akhir sekali, menerusi kerjasama strategik (Partnership) antara semua pihak berkepentingan, kita dapat membentuk ekosistem pembangunan yang lebih holistik dan lestari,” katanya.
Menurut Datuk Bandar, sebagaimana sedia maklum, berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), sebanyak 139 lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi dan diberi keutamaan untuk projek pembangunan semula di Kuala Lumpur.
“Selain itu, mana-mana tapak lain yang memenuhi kriteria serta syarat-syarat bagi tapak pembangunan semula sebagaimana yang digariskan juga layak dipertimbangkan untuk insentif yang ditawarkan,” katanya.
Dalam konteks 15 Program Perdana DBKL, Maimunah berkata perancangan pembangunan semula juga diintegrasikan dengan inisiatif seperti Kuala Lumpur Smart City Master Plan, di mana teknologi digital digunakan dalam pemetaan tanah dan pengurusan bandar untuk meningkatkan kecekapan serta keterlibatan rakyat dalam perancangan bandar.
“Program Perumahan Mampu Milik pula memastikan pembangunan semula turut memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat bagi memastikan tidak ada yang terpinggir dalam arus pemodenan bandar,” katanya.
Jelas beliau, DBKL turut memperkukuh daya tahan bandar dengan pelaksanaan Pelan Iklim dan Peralihan Tenaga Kuala Lumpur, bagi memastikan pendekatan hijau dalam pembangunan aset DBKL sebelum diperluaskan kepada sektor swasta menjelang 2026.
“Kami juga telah menggandakan usaha menangani banjir kilat dengan menaik taraf infrastruktur perparitan, kolam takungan dan rumah pam, sejajar dengan keperluan untuk melindungi bandar dari kesan perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata melalui agenda inklusif, Program Kita Untuk Kita (K2K) yang dibangunkan bersama Think City akan memperkasakan lebih 600,000 warga perumahan awam dan rakyat melalui penambahbaikan kemudahan, pelaburan dalam pendidikan serta peningkatan peluang pekerjaan. – WILAYAHKU