KERAJAAN negeri Selangor telah menubuhkan pasukan petugas khas (task force) untuk meneliti program pemulihan khusus kepada kanak-kanak yang ditemukan di rumah-rumah amal GISBH di negeri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pasukan khas itu ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2 Oktober lalu.
Menurutnya, ia akan dipengerusikan beliau bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari.
“Pada peringkat awal pasukan itu akan dianggotai wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
“Selain itu ia dianggotai Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan MBI dan
Yayasan Selgate,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohammad Fahmi berkata, pasukan tersebut akan memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja isu-isu akidah tetapi juga kebajikan.
Katanya, ini termasuk isu kesihatan dan perkembangan mental-fizikal untuk memastikan kanak-kanak terlibat dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini.
“Mesyuarat pertama pasukan khas ini akan berlangsung pada 11 Oktober ini,” katanya. – WILAYAHKU