Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fokus

Selamatkan industri tuna sebelum terlambat

NELAYAN tuna memunggah hasil tangkapan sebelum dijual di Pasar Sentral Labuan
- Diterbit 28 Jun 2024 11:00 AM MYT

LABUAN merupakan sebuah pulau di luar pantai Borneo yang berpotensi untuk menjadi pemain utama dalam industri tuna di peringkat global. Lokasinya yang strategik berhampiran kawasan laluan ikan tersebut menjanjikan kejayaan yang signifikan terhadap kekayaan sumber laut Labuan.

Namun disebalik perancangan itu, ia tidak semudah yang disangkakan. Meskipun pelbagai usaha telah dirintis pihak berkepentingan, industri tuna di Labuan dikatakan masih dalam peringkat permulaan yang memerlukan pemerhatian bagi menangani cabaran sedia ada.

Komoditi makanan laut itu mempunyai nilai dan permintaan yang sangat tinggi serta dijual dalam harga premium di pasaran antarabangsa. Kedudukan Labuan yang strategik serta sempadan maritim yang luas merupakan faktor utama pihak berkepentingan wajar memanfaatkan kelebihan itu.

Mengambil kira faktor tersebut, Labuan yang dipenuhi dengan spesies tuna oseanik (pantai) yang mana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga menganggarkan sumber itu berpotensi menjana sehingga RM700 juta (lebih kurang USD 163 juta) setiap tahun untuk rantau ini.

Potensi tersebut diiktiraf Kerajaan Malaysia malah KPKM telah menggariskan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna yang bertujuan untuk membangunkan Sabah dan Labuan menjadi hab tuna utama sekali gus dapat menyerlahkan peranan yang boleh dimainkan oleh industri tuna untuk berkembang maju dalam meningkatkan ekonomi negara dan mencipta aliran kekayaan baharu.

Tidak dinafikan industri tuna di Labuan mewakili segmen penting dalam ekonomi tempatan berikutan ia menyediakan mata pencarian untuk masyarakat dan menyumbang dengan ketara kepada keselamatan makanan dan hasil eksport rantau ini.

Walau bagaimanapun, industri ini menghadapi pelbagai cabaran yang mengancam kemampanan dan potensi pertumbuhannya. Cabaran ini berakar umbi dalam isu alam sekitar, ekonomi dan kawal selia yang menuntut tindak balas strategik demi memastikan industri ini kekal berdaya maju untuk jangka panjang.

Dari segi ekonomi, industri tuna Labuan dilihat turut bergelut dengan persaingan sengit daripada pemain yang lebih besar dan lebih maju dari segi teknologi dalam pasaran global. Pesaing ini mendapat manfaat daripada skala ekonomi, akses yang lebih baik kepada pasaran antarabangsa, dan teknologi canggih sekali gus mengurangkan daya saing operasi berskala kecil Labuan.

Ketidaktentuan harga dalam pasaran tuna memburukkan lagi cabaran ekonomi. Harga tuna terdedah kepada turun naik yang didorong oleh perubahan dinamik penawaran dan permintaan. Ketidaktentuan ini boleh mengakibatkan ketidakstabilan kewangan bagi nelayan dan perniagaan tempatan seterusnya menjadikan perancangan dan pelaburan jangka panjang sukar untuk dilaksanakan.

Tidak dinafikan, banyak kapal nelayan dan kemudahan penyimpanan hasil tangkapan tidak memenuhi piawaian terkini yang diperlukan bagi menjamin kualiti dan standard antarabangsa yang ditetapkan. Logistik yang dilengkapi dengan teknologi sejuk beku juga tidak mencukupi biarpun ia merupakan komponen penting untuk mengekalkan kesegaran dan kebolehpasaran tuna.

Dengan kekangan tersebut ia secara tidak langsung telah mengehadkan keupayaan industri itu untuk bersaing di peringkat global.

Secara relatifnya, keupayaan nelayan tempatan perlu ditingkatkan memandangkan bot kecil yang digunakan itu pastinya mampu mengisi hasil tangkapan dengan kapasiti yang lebih kecil di ruangan khas yang dipenuhi ais bagi mengekalkan kesegaran.

Sekiranya ikan itu ditangkap sehari sebelum, ia masih lagi dijamin kesegarannya. Sebaliknya jika ditangkap tiga atau empat hari kemudian dibawa pulang dan dipasarkan maka ia hanya boleh dimasak sahaja.

Antara penggerak kepada industri tersebut adalah nelayan tempatan yang bergelut demi memastikan kesinambungannya. Tidak dinafikan KPKM menerusi agensi terlibat telah menyediakan kemudahan dalam pelbagai bentuk bagi memberdaya golongan berkenaan bagi mengelakkan mereka terus ketinggalan.

Namun kapasiti bot yang ada dilihat tidak berupaya memandangkan mereka perlu belayar hingga 100 batu nautika dan setiap perjalanan memerlukan tempoh tiga hingga empat hari sebelum mereka kembali ke daratan untuk memasarkan hasil yang didapati.

Menurut Pengerusi MyKP Labuan, Dullah Latif, 67 berkata sebelum ini semua nelayan tuna di Labuan menikmati perubahan dalam kaedah penangkapan tuna berbanding dahulu.

“Jika dahulu hanya guna pukat dan pancing, kebanyakkannya nelayan ini ada menerima bantuan daripada kerajaan bagi meningkatkan lagi jumlah pendaratan ikan tuna sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan tuna di sini.

“Namun dengan kapasiti bot yang ada, kami tidak boleh memendekkan perjalanan kerana faktor kos dan tempat simpanan ikan yang kecil berbanding kapal yang besar,” katanya kepada Wilayahku.

Selain itu, persatuan yang turut menaungi lebih 50 nelayan tuna itu juga tidak dapat menggunakan jeti yang telah disediakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam berikutan jaraknya agak jauh dari Pasar Sentral.

“Kawasan itu tidak sesuai kerana ia agak terbuka dan memandangkan bot kami kecil serta waktu ketibaan nelayan tidak menentu, ada ketika tengah malam ataupun ketika musim ribut maka nelayan ini tiada tempat untuk berlindung dan ia membahayakan keselamatan.

“Selain itu, di tempat ini pula ia berhampiran dengan pasar dan persatuan terus membeli hasil laut kami rasannya lebih mudah dan cepat berbanding di kompleks berkenaan yang tidak berlaku seperti itu,” katanya.

Justeru itu, Dullah berharap beberapa siri perbincangan dengan LKIM dapat membuahkan hasil dan tempat pendaratan
ikan yang dibina dengan kos sendiri itu dapat ditingkatkan untuk kemudahan nelayan di sini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas