MENTERI Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyeru sektor swasta agar mencontohi langkah kerajaan menambah baik gaji pekerja.
Menurut Steven Sim, ia bagi menghargai produktiviti dan sumbangan pekerja syarikat masing-masing.
“Syarikat juga digalakkan menyertai projek rintis gaji progresif yang sedang berjalan yang bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja khususnya di sektor Perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Melalui program ini, Kerajaan akan menyalurkan subsidi sehingga RM300 sebulan bagi setiap pekerja untuk syarikat yang mengambil bahagian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga telah menerima syor Majlis Perundingan Gaji Negara dengan kadar gaji minimum yang baharu dan kini di peringkat untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri untuk kelulusan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji yang akan dinikmati penjawat awam adalah sebanyak 7 hingga 15% melalui pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Beliau berkata kenaikan itu membabitkan kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional sebanyak 15% serta pengurusan tertinggi 7%.
Kata Anwar, penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji secara dua fasa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan bersetuju Skim Saraan Malaysia (SSM) digantikan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini.
Menurut Anwar, SSPA dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi ia merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Steven Sim menyatakan beliau menyambut baik Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan Perdana Menteri.
“Apabila dilaksanakan, ia dijangka akan mewujudkan kesan limpahan ekonomi,” ujarnya. – WILAYAHKU