Berita

Sektor awam, swasta tidak boleh bersifat ‘dikotomi’ dalam konteks TVET

- Diterbit 25 Februari 2024 2:45 PM MYT

KERJASAMA antara sektor awam dan swasta (PPP) perlu menjadi mekanisme utama yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes.

Justeru, beliau berkata dalam konteks TVET, sektor awam dan swasta tidak boleh bersifat ‘dikotomi’ atau pemisahan dalam memperkasakan bidang berkenaan.

Menurut Sri Ganes kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat menaik taraf institusi sedia ada, tetapi juga menyediakan peluang yang lebih besar kepada pelajar untuk mengikuti kursus baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan dron yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“Dengan kerjasama ini, pemain industri utama negara dapat terbabit terus mengurus latihan TVET dan seterusnya menyediakan pelajar yang dilatih memasuki alam pekerjaan dengan pendapatan munasabah.

“Pada masa sama, ia juga akan menyelesaikan permasalahan mengenai latihan tidak sepadan, tidak diperluas dan tidak memuaskan membabitkan graduan. Tanpa tenaga mahir yang kompeten, pembangunan sektor ini (TVET) akan tergugat,” katanya kepada Bernama.

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group berkata dalam konteks TVET, tanpa kerjasama PPP itu, ia bukan sahaja akan memberi bebanan kewangan kepada satu-satu pihak malah mewujudkan ketidakseimbangan bebanan kepada fasiliti untuk menyediakan tenaga kerja yang relevan kepada pasaran.

“Maka kerjasama yang efektif antara sektor awam dan swasta akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber merentasi kedua-dua sektor ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sri Ganes berkata kerjasama terjalin antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai, Pulau Pinang dengan Autotronics Centre of Excellence, dengan sumbangan kelengkapan autotronik bernilai RM200,000 diserahkan kepada ILP Perai selain pembiayaan latihan kepada sembilan jurulatih ILP Perai yang layak, melibatkan kos dianggar RM45,000.

Beliau berkata kursus yang ditawarkan menerusi kerjasama itu memanfaatkan kira-kira 500 pelajar dan disasarkan kepada golongan pekerja dan siswazah untuk mengikutinya secara jangka pendek dan panjang, bergantung kepada kesesuaian masing-masing.

“Kita menawarkan dua pilihan, iaitu siswazah yang masih belum bekerja disarankan untuk mengambil kursus yang ditawarkan tujuh hingga 14 hari (jangka pendek) manakala bagi mereka yang bekerja, kita juga menawarkan kursus berkenaan pada hari minggu,” katanya.

Mereka yang berminat boleh melayari autotronics.edu.my/kerjayamadani. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas