YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa berusaha untuk menyantuni masyarakat terutama golongan yang kurang bernasib baik.
Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta dalam membantu warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan.
“Baru-baru ini kita telah menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghulur bantuan dengan kerjasama Maybank dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Lembah Pantai.
“Program tersebut merupakan salah satu inisiatif yang berteraskan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang mendalam.
“Kerjasama dengan Maybank ini adalah bukti bahawa apabila pihak swasta dan sektor awam bersatu, impak yang terhasil boleh membawa perubahan besar kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata menerusi program tersebut YWP telah menyampaikan sumbangan khas kepada 20 penerima terpilih yang juga merupakan penduduk di PPR tersebut.
“Setiap penerima sumbangan menerima bakul makanan dan juga sumbangan wang tunai RM300 yang mana mereka semua ini telah dipilih oleh pihak JKM.
“Selain itu, menerusi program ini juga Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM) di PPR Kerinchi ini akan menerima penajaan oleh Maybank selama dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas Program CSR Menghulur Bantuan pada Sabtu.
Abdul Rahman turut berharap menerusi program ini pihaknya dapat menarik lebih banyak badan korporat untuk sama-sama turun membantu golongan berpendapatan rendah (B40).
“Ribuan terima kasih diucapkan kepada Maybank serta JKM di atas kerjasama dan program yang dianjurkan ini. Mudah-mudahan dengan usaha sedikit ini dapat membantu mereka yang tinggal di kawasan PPR.
“Saya nak cadangkan supaya di setiap PPR untuk mewujudkan satu komuniti bagi mencari mereka yang memerlukan bantuan serta keperluan harian dan bantu daftarkan mereka untuk menerima bantuan. Kita tak janji akan bantu semua tetapi setidaknya kita boleh beri sedikit sumbangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata sebelum akhir tahun ini, pihak YWP juga akan bekerjasama dengan JKM bahagian Wilayah Persekutuan bagi menyelaraskan segala bentuk bantuan yang diperlukan warga kota. – WILAYAHKU