PEMBINAAN ‘sekolah kondominum’ atau ‘sekolah pangsa’ sesuatu yang baharu di Kuala Lumpur.
Sekolah dalam bangunan tinggi ini bagi menampung keperluan pelajar sekolah rendah dan menengah yang makin bertambah.
Memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)‚ Dr Zaliha Mustafa‚ perkara ini dalam perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Di bawah pelan DBKL‚ satu sekolah dicadang mengandungi dua blok bangunan dengan ketinggian antara 10 hingga 17 tingkat. Pembinaannya akan mengekalkan ciri penting pendidikan‚ sukan dan rekreasi‚ juga mengguna pakai ruang atas bumbung atau ‘roof top’.
Walaupun ini merupakan idea baharu dan mungkin dianggap janggal‚ kawan-kawan Kedai Kopi rasa ia boleh dan sesuai dilaksanakan.
Konsep ini sudah dilaksanakan di negara lain‚ misalnya Australia. Sekolah dibina dalam dua blok setinggi 10 hingga 17 tingkat‚ lengkap dengan padang permainan. Model inilah yang dijangka diterapkan bagi pelaksanaan konsep tersebut di ibu kota.
Sesuatu yang baharu mungkin janggal pada peringkat awal. Namun lama kelamaan ia akan diterima baik. Sekurang-kurangnya boleh dibuat projek perintis bagi mengukur sejauh mana penerimaannya dalam kalangan warga kota.