Berita

Sekarang bukan masanya laksanakan projek mega – PM Anwar

- Diterbit 18 Oktober 2024 5:07 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekarang bukan masanya kerajaan melaksanakan projek mega.

Beliau membuat penegasan itu ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek
berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Antaranya kata beliau, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB.

“Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang dan Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.

“Ini termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

“Di Pahang, Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang selain pembinaan jalan pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf jalan dari bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang,” katanya.

Beliau menambah, tumpuan kerajaan juga kepada projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap.

Tumpuan lain antaranya adalah projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027; projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.

“Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus.

“Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih,” katanya.

Oleh itu katanya, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas