Berita

Sejumlah 67,628 anak tidak sah taraf dicatat bagi tempoh lima tahun

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Disember 2024 2:50 PM MYT

BAGI tempoh lima tahun dari tahun 2020 hingga 31 Oktober 2024, statistik kelahiran Anak Tidak Sah Taraf (ATST), dengan catatan Seksyen 13 adalah sebanyak 67,628 pendaftaran bagi warganegara, manakala bagi bukan warganegara adalah sebanyak 49,137 pendaftaran.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu pendaftaran kelahiran tanpa maklumat bapa mencatatkan sejumlah 66,318 bagi warganegara dan 13,159 bagi bukan warganegara.

“Secara keseluruhan, jumlah pendaftaran bagi warganegara adalah 133,946, manakala bagi bukan warganegara pula ialah 62,296.

“Dalam konteks ini, status kewarganegaraan kanak-kanak ini merujuk kepada taraf kewarganegaraan ibu kandung kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak dalam kategori ini yang ingin memohon untuk menjadi warganegara Malaysia boleh membuat permohonan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, iaitu pendaftaran kewarganegaraan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun ke bawah dan dalam keadaan khas sekiranya memenuhi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KDN menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda berkenaan jumlah anak tidak sah taraf di Malaysia pada masa kini, dan berapa jumlah daripadanya yang tidak memperoleh taraf kewarganegaraan.

Tambahnya syarat-syarat yang telah ditetapkan mengikut perundangan yang berkuatkuasa.

“Dalam rekod JPN sebanyak 6,705 permohonan di bawah perkara 15 telah diterima bagi kanak-kanak yang berada dalam kategori ini sepanjang tempoh 2010 hingga 2024,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas