Berita

SEGiM mampu tingkat kualiti perkhidmatan penggiat gig

- Diterbit 23 Oktober 2024 10:35 AM MYT

KERAJAAN perlu komited bagi memastikan perlaksanaan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dipercepatkan, kata Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri.

Beliau berkata ini kerana pertumbuhan penyertaan penggiat gig meningkat lebih pantas sebanyak 6.5 peratus berbanding penyertaan dalam sektor formal sebanyak 2.4 peratus pada tahun 2023.

“Sehingga Disember 2023, jumlah penggiat gig mencecah 3 juta orang. Jika diikutkan aktiviti penggiat gig ini telah lama wujud dalam ekonomi Malaysia, namun struktur ekonomi gig ini tidak diperkemaskan,” katanya.

Menurut Elya, dengan adanya SEGiM, diharapkan agar istilah pekerja akaun sendiri dapat diperkemas dan data profil setiap penggiat gig dalam dihimpun dalam satu pangkalan data yang lebih lengkap.

Beliau berkata buat masa ini data penggiat gig datang dari pelbagai agensi dan tidak disentralisasikan memandangkan tiada satu suruhanjaya untuk data ini bernaung.

“Dengan adanya platform ini, maka setiap penggiat gig dapat mendaftarkan diri mereka sama ada sepenuh masa dan separuh masa. Selain itu, dengan adanya data penggiat gig yang lengkap, maka ekonomi gig dapat distrukturkan dengan lebih baik dan pelbagai rang undang-undang yang berkaitan dengan penggiat gig dapat diwujudkan.

“Kita akan dapat melihat kerangka ekonomi gig dengan lebih luas dengan adanya pangkalan data ini,” katanya.

Tambah Elya, masyarakat akan dapat melihat aktiviti gig ini dengan lebih luas dan pelbagai.

Beliau berkata misalnya aktiviti penggiat gig dengan platform dan tanpa platform ekonomi perkongsian.

“Cabang ekonomi gig juga adalah pelbagai misalnya p-hailing, e-hailing, freelancer, pereka dalaman, pelakon, dan sebagainya. Dengan adanya SEGiM, diharapkan agar ekonomi gig lebih berstruktur dan seterusnya memudahkan perancangan dan perangkaan dasar dengan lebih praktikal dan efisien,” katanya.

Mengulas lanjut, Elya berkata isu penggiat gig bukan sahaja dari segi keselamatan sosial tetapi juga dari segi penyelarasan caj perkhidmatan daripada pelbagai platform ekonomi perkongsian.

Beliau berkata penggiat gig juga perlu diberi latihan berterusan seperti reskilling dan upskilling mengikut kesesuaian kegiatan mereka dalam meningkatkan kadar keboleh pasaran.

“Misalnya, penggiat gig e-hailing perlu kemahiran komunikasi dan fasih berbahasa Inggeris untuk memberikan persepsi yang baik kepada Malaysia memandangkan mereka juga membawa pelancong pelbagai negara sebagai penumpang,” katanya.

Selain itu, Elya berkata ekonomi gig juga menyumbang kepada pendapatan negara melalui pendapatan isi rumah dan peningkatan dalam penggunaan.

Katanya, ekonomi gig membuka ruang dan peluang kepada pelbagai golongan bagi mereka menjana pendapatan sendiri, termasuklah golongan berpendapatan rendah dan golongan rentan.

“Bahkan, aktiviti ekonomi gig meliputi golongan berkemahiran tinggi, separa mahir dan kurang mahir.

“Misalnya, penggiat gig sebagai penyunting artikel memerlukan golongan berkemahiran tinggi. Begitu juga penggiat gig melakukan kerja rutin boleh disertai oleh golong berkemahiran rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Elya berkata melalui SEGiM, diharapkan agar isu-isu berbangkit dalam ekonomi gig di bawah portfolio pelbagai kementerian dapat dikordinasi dengan baik dan dapat diintegrasikan agar masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih efisien.

Beliau berkata penubuhan SEGiM ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keterangkuman dan kesaksamaan pelbagai golongan masyarakat untuk menyumbang dalam ekonomi gig sepertimana penumpuan teras Menaikkan Lantai dalam Ekonomi MADANI.

“SEGiM dijangka menggalakkan lebih banyak kajian untuk memperkukuhkan ekonomi gig memandangkan Malaysia merupakan negara pelopor yang menubuhkan suruhanjaya berbanding negara-negara lain.

“Jika model ekonomi gig berjaya dilaksanakan, maka Malaysia akan menjadi rujukan negara-negara lain,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Profesor Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata mandat dan peruntukan yang lebih luas lagi perlu diberikan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk meneroka dan memperkasakan lagi peluang pekerjaan di bawah ekonomi gig.

Beliau berkata ini agar lebih menjamin kerjaya dan mampan.

“Ia seperti penawaran perkhidmatan pengaturcaraan, rekabentuk, perundingan, dan tidak kekal terhad kepada penghantaran barang dan penumpang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas