Berita

Segerakan pembinaan rumah mampu milik di ibu kota – PM

- Diterbit 29 Ogos 2024 2:27 PM MYT

PEMBANGUNAN projek perumahan mampu milik di ibu kota digesa untuk disegerakan supaya dapat memenuhi permintaan tinggi khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sekiranya dilengahkan, kos rumah akan menjadi lebih tinggi.

“Kalau lengahkan kelulusan, kos rumah akan jadi lebih tinggi. Syarikat yang buat (pembinaan) tidak akan rugi tetapi dapat untung.

“Kos rasuah, kos bank semua akhirnya akan terbeban kepada pembeli. Kalau macam ini negara tidak akan maju, kalau begini rakyat tidak akan terbela,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa.

Menurut Anwar pembangunan perumahan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuklah aspek keselesaan.

Beliau juga meminta kemajuan setiap projek untuk dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas