Advertorial

Sedia pelajar hadapi dunia luar

- Diterbit 19 November 2024 1:37 PM MYT

DALAM era digital hari ini, keselamatan dalam talian telah menjadi kebimbangan kritikal bagi individu dan organisasi. Pergantungan kepada Internet untuk berkomunikasi, perniagaan dan perkongsian maklumat menjadikan ancaman jenayah siber telah berkembang dengan pesat.

Jenayah siber boleh terdiri daripada kecurian identiti dan penipuan kewangan kepada serangan yang lebih teruk seperti perisian tebusan dan pelanggaran data.

Jenayah siber ini tidak sekadar menyasarkan warga emas, bahkan kanak-kanak dan golongan pelajar turut menjadi mangsa sekali gus memerlukan satu usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan kes-kes jenayah melibatkan siber dapat dibendung sekali gus dikurangkan.

Aspek penting untuk kekal selamat dalam dunia digital tentunya menerusi pendidikan dan kempen berterusan bagi memberikan panduan kepada orang ramai agar tidak terjerumus menjadi mangsa jenayah siber.

Menyedari kepentingan melahirkan generasi celik IT serta memahami ancaman jenayah siber, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Wilayahku menganjurkan Forum Keselamatan Dalam Talian.

Menurut pelajar tahun akhir, Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi dan Latihan Instruksional, Hanania Uzma Osman, 24, Forum Keselamatan Dalam Talian yang dianjurkan memberikan pemahaman mendalam berkenaan jenayah siber dan potensi terhadap kehidupan.

“Hari ini saya dapat tahu sebenarnya scam itu boleh dilakukan melalui kecerdasan buatan (AI). Sebelum ini saya berfikir bahawa AI itu hanya melibatkan algoritma untuk media sosial semata-mata, bukan untuk panggilan telefon atau pesanan mesej, dan saya tidak jangka sehingga ke tahap itu kesan AI yang dimanipulasi menjadi jenayah siber.

“Selain itu, apabila pendedahan daripada wakil MCMC mengenai jumlah panggilan scammer sehingga 1.4 bilion dan 1.2 bilion mesej scam, adalah angka yang menakutkan kerana semua orang terdedah kepada jenayah siber ini,” katanya kepada Wilayahku.

Ujar Hanania, kebanyakan golongan pelajar yang menjadi mangsa berikutan kerap menggunakan telefon pintar selain turut juga bergantung kepada telefon pintar masing-masing.

“Banyak kes yang terjadi dan yang paling malang apabila kehilangan wang, ia tidak dapat dikembalikan. Jadi kasihan kepada mangsa kerana tidak ada pencerahan bagaimana scam ini boleh berlaku,” katanya.

Dia yang bakal menempuh alam pekerjaan selepas tamat pengajian ini menyifatkan forum berkenaan memberikan maklumat yang lebih komprehensif dan pendidikan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dan jenayah siber.

“Pastinya selepas tamat pengajian ini, saya akan menempuh dunia pekerjaan. Antara syaratnya untuk memohon pekerjaan sekarang ini memerlukan kiriman resume dan sudah pasti banyak tempat dan syarikat.

“Antara risiko adalah nombor telefon, alamat dan maklumat peribadi akan tersebar. Macam contoh di laman linked in, orang luar negara juga boleh akses dan mendapatkan maklumat kita dan ia agak berbahaya kerana ia dalam tetapan public dan terbuka kepada umum.

“Forum ini meningkatkan kesedaran dan perlu lebih berhati-hati sekiranya mendapat panggilan telefon, kita perlu melakukan penyiasatan terutama melibatkan latar belakang syarikat bagi mengelakkan menjadi mangsa,” katanya.

Hanania berkata pencerahan mengenai jenayah scam ini perlu diperluaskan berikutan pelajar sekolah rendah juga sudah menggunakan telefon dan ibu bapa juga perlu mengetahui mengenai ancaman jenayah ini.

“Seperti pelajar sekolah yang bermain video games di dalam telefon pintar, mereka juga boleh menjadi mangsa penipuan di dalam permainan itu dan juga pekerja diluar juga boleh menjadi mangsa scam.

“Dunia Internet ini terlampau terbuka dan bebas, orang luar boleh memperolehi maklumat peribadi dengan sekelip mata bahkan potensi untuk kehilangan duit dalam akaun juga sekelip mata.

“Jadi, dengan maklumat yang betul mengenai kandungan scam atau kita boleh tahu apa jangkauan yang sindiket jenayah atas talian ini boleh buat pada kita, semua orang boleh berwaspada dan tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan sekiranya menjadi mangsa atau berdepan dengan rakan-rakan dan ahi keluarga yang menjadi mangsa jenayah dalam talian ini,” katanya.

Forum Keselamatan Dalam Talian yang berlangsung selama tiga jam itu diadakan di Studio TV Fakulti FKPM melibatkan 150 pelajar menampilkan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebagai moderator.

Antara ahli panel terlibat, Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki Aksan; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Putrajaya, Asisten Superintendan (ASP) Rastam Affendi Md Ramli; Pengarah (Kawal Selia) MCMC Selangor, Mohamad Syukri Jamaluddin dan tetamu khas, Pensyarah Kanan UiTM, Dr Anuar Ali.

Turut hadir, Dekan FKPM, Profesor Madya Dr Abdul Rasid Abd Rahman dan Timbalan Dekan Akademik, Dr Noor Mayudia Mohd Mothar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas