Berita

Sedia lahir pelapis juara dunia

MIKE MAHEN bersama trofi Olahragawan Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara 2023
- Diterbit 21 Jun 2024 4:30 PM MYT

KEJAYAAN sulung bergelar Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 membakar semangat Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah untuk melahirkan juara dunia baharu pada masa depan.

Mohd Syarul atau lebih dikenali dengan panggilan Mike Mahen yang dilantik sebagai jurulatih bina badan negara selepas bersara Mac lepas berkata beberapa atlet berpotensi untuk digilap mengikut jejak langkahnya yang berjaya menguasai pentas antarabangsa sebanyak enam kali sebelum ini.

“Alhamdulillah lepas bersara saya dapat gelaran Olahragawan Kebangsaan, ini merupakan penghargaan tertinggi buat saya.

“Seperti semua tahu kita mempunyai banyak atlet berpotensi dari Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor, cuma perlu dibawa ke landasan betul.

“Juara dunia baharu mungkin boleh dicapai dalam masa dua hingga tiga tahun lagi,” ujar beliau.

Selain bergelar juara Asia buat kali keenam tahun lepas, Mike Mahen kini berdiri sebaris dengan pemenang lain termasuk dua legenda bina badan negara, Datuk Abdul Malek Noor (1986) dan Sazali Samad (2000, 2006, 2013 dan 2014) selepas pulang dengan tangan kosong dalam lima pencalonan sebelum ini.

Beliau mengetepikan cabaran empat calon lain iaitu Muhamad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan tiga pemenang emas Sukan Asia Hangzhou 2022 iaitu Ng Eain Yow (skuasy), Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian) serta Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (karate).

Sementara itu, Olahragawati Kebangsaan, Natasha Mohamed Roslan daripada sukan tenpin boling pula berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada kejohanan Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 yang berlangsung pada 10 hingga 15 Jun lalu sekali gus melayakkan diri ke Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 pada 14 hingga 26 September ini di Bangkok, Thailand.

Juara Kejohanan Dunia 2023 itu meraih anugerah tersebut buat kali pertama dalam kariernya dengan mengatasi saingan bintang skuasy negara, S. Sivasangari, Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul gelaran Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Shalin Zulkifli pada 2002.

Anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 1966 itu ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas