Artikel

Sedarlah wahai rakyat Malaysia, jangan terus jadi mangsa scammer

AKTIVITI penipuan yang dijalankan boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada mangsa. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 September 2023 6:00 AM MYT

SUDIRMAN MOHD TAHIR

KAJIAN terbaharu oleh syarikat keselamatan siber Surfshark yang dilaporkan media pada Februari lalu menyatakan data pengguna Malaysia antara yang paling banyak dicerobohi di dunia apabila berada pada kedudukan ke-11 negara paling ramai data penggunanya telah dicerobohi pada suku kedua 2022.

Faktanya, sebanyak 5,513 aduan penipuan dalam talian dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 2020 hingga Mei tahun ini.

Sehubungan itu, MCMC menubuhkan pasukan petugas khas bagi penipuan telekomunikasi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Peningkatan aktiviti penipuan atau scammer adalah isu serius yang telah menjadi lebih menonjol dalam era digital. Ini disebabkan oleh banyak faktor termasuk kemudahan akses kepada teknologi, globalisasi dan kurangnya kesedaran tentang risiko penipuan dalam kalangan pengguna Internet.

Beberapa aspek penting berkaitan dengan peningkatan aktiviti scammer ini sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Ketidakpekaan atau kurang cakna berkenaan masalah ini menjadikan mereka terus lalai walhal, hampir setiap hari isu ini menjadi tajuk utama di dada akhbar dan juga liputan berita dalam talian.

Teknologi yang mudah dicapai iaitu kecanggihan Internet yang segalanya kini di hujung jari telah membuka pintu kepada penipu untuk mencapai mangsanya dengan lebih mudah. Mereka boleh menggunakan pelbagai platform, seperti e-mel, media sosial, laman sesawang palsu dan aplikasi pesanan ringkas untuk menyebarkan skema penipuan.

Liciknya scammer ini apabila keberadaan dan aktiviti mereka bersifat globalisasi. Penipu tidak lagi terhad kepada kawasan geografi tertentu. Dengan kemudahan akses kepada Internet, mereka boleh menyasarkan mangsa dari seluruh dunia. Ini menjadikan penipuan lebih sukar dikesan dan dihalang.

Mengukuhkan lagi kuasa penipuan mereka apabila kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat. Sebenarnya, masih ramai pengguna Internet tidak sedar tentang pelbagai jenis penipuan yang wujud. Oleh itu, mereka mungkin lebih mudah menjadi mangsa kepada skema penipuan. Kesedaran yang rendah juga boleh mengakibatkan kelewatan dalam melaporkan penipuan kepada pihak berkuasa.

Ironinya, teknik penipuan yang semakin canggih menjadikan si penipu semakin kreatif dalam menghasilkan teknik penipuan baru. Ini termasuk ‘phishing’, scam panggilan telefon, penipuan melibatkan cryptocurrency, dan banyak lagi. Mereka juga menggunakan teknik psikologi untuk mempengaruhi mangsa mereka.

Akibatnya, sudah tentu berlakunya kerugian kewangan yang besar. Manakala si pelaku scammer untung berlipat ganda. Aktiviti penipuan yang dijalankan boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada mangsa. Ini termasuk kehilangan wang, maklumat peribadi yang dicuri atau bahkan pencurian identiti.

Sedar atau tidak, MCMC sebenarnya sudah banyak kali menjalankan kempen kesedaran mengenai aktiviti penipuan atau scammer ini. Tidak hanya menggunakan medium media massa, begitu juga di media sosial sentiasa rancak disebarkan.

Siasatan mendapati modus operandi penjenayah ini hampir sama dan tidak banyak berubah, iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa sama ada polis, kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya. Walaupun nasihat demi nasihat sudah diberikan, masih ramai yang mudah percaya dan terpedaya dengan taktik ‘telefon dan ugut’ sindiket ini sehingga mendedahkan maklumat perbankan atau sanggup memindahkan sejumlah wang yang diminta tanpa menyiasat secara terperinci terlebih dahulu.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah mangsa yang terjerat turut membabitkan kalangan bijak pandai yang berpendidikan tinggi, memegang jawatan utama dalam sektor kerajaan mahupun syarikat swasta dan pakar dalam bidang tertentu serta golongan profesional berpendapatan lima angka sebulan.

Doktor, guru, jurutera dan akauntan adalah antara kelompok profesional yang sering kita dengar menjadi mangsa scammer termasuk membabitkan nilai kerugian yang agak besar.

Situasi ini menunjukkan semua golongan terdedah kepada penipuan sindiket ini dan apa yang merunsingkan sekarang ialah peningkatan kes membuktikan masih ramai bersikap tidak peduli dengan nasihat dan maklumat yang sering disampaikan oleh pihak berkuasa. Walaupun kes seperti ini semakin ‘popular’ di negara kita, namun jika leka dan tidak memberi perhatian tidak mustahil bila-bila masa saja boleh menjadi mangsa seterusnya.

Justeru, langkah-langkah seperti kesedaran dan pendidikan terutamanya dapat meningkatkan kesedaran tentang jenis-jenis penipuan yang wujud dan cara-cara untuk mengenal pasti penipuan adalah penting. Program pendidikan dan kesedaran perlu diperkenalkan kepada masyarakat.

Selain itu, pengguna Internet perlu berhati-hati semasa berurusan dalam talian. Jangan klik pautan yang mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi dengan mudah. Pada masa sama, kerajaan perlu memperkenalkan undang-undang yang lebih tegas dan penguatkuasaan yang lebih baik terhadap penipuan dalam talian. Ini termasuk bekerjasama dengan pihak antarabangsa untuk menangani penipuan rentas sempadan.

Tidak ketinggalan komuniti perlu memainkan peranan dengan memberi amaran dan berkongsi maklumat tentang penipuan yang berlaku dalam kalangan mereka. Apa yang paling penting juga adalah setiap individu perlu menjaga diri sendiri dan berhatihati ketika berurusan dalam talian. Jika sesuatu terlalu baik untuk menjadi kenyataan atau mencurigakan, lebih baik berhatihati daripada menjadi mangsa.

Jika menjadi mangsa, segera melaporkan insiden kepada pihak berkuasa dan badan pengawalseliaan yang berkaitan. Ini boleh membantu dalam menyiasat dan menangani penipuan.

Walaupun pahit untuk ditelan, peringatan secara berulang kali perlu dilaungkan agar tidak secara berterusan menjadi mangsa penipuan. Sedar dan bangkitlah wahai rakyat Malaysia. Jangan terus dibuai dan lena dengan keasyikan janji manis mereka yang tidak dikenali kerana pada akhirnya hanya memakan diri.

PENULIS merupakan wartawan yang juga penuntut Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi, UKM.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas