Berita

Sebar inisiatif kerajaan

SIMSUDIN (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Jainuddin dalam sesi kunjungan hormat baru-baru ini.
- Diterbit 5 November 2024 10:47 AM MYT

PERSATUAN Penggiat Media Labuan komited memberi kerjasama kepada Perbadanan Labuan (PL) dalam pelbagai aspek khususnya  menyebarluaskan inisiatif kerajaan dan mempromosikan Labuan sebagai pusat pelancongan.

Ini kerana dari dulu sehingga ke hari ini, media merupakan salah satu platform penting dalam membantu semua pihak menyampaikan maklumat yang sahih dan terkini kepada golongan sasar yang dikehendaki.

Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin berkata pihaknya yang terdiri daripada barisan wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi sentiasa membantu menyampaikan pelbagai maklumat kepada penduduk di pulau itu.

“Kami berharap pihak PL dapat memberikan kerjasama khususnya dalam penyediaan maklumat-maklumat mengenai inisiatif mahupun perancangan yang bakal dilaksanakan oleh PL.

“Sudah tentunya jalinan kerjasama ini mampu memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang usaha-usaha yang dilaksanakan oleh PL dalam memacu pembangunan pulau ini,” katanya ketika sesi kunjungan hormat ke Pejabat Timbalan Pengerusi PL, Simsudin Sidek baru-baru ini.

Dalam pada itu, Simsudin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Persatuan Penggiat Media Labuan yang sentiasa membantu PL.

“Saya mewakili PL mengucapkan terima kasih dan berharap kerjasama ini akan terus terjalin. Saya juga yakin dengan hubungan mesra ini akan memberikan manfaat positif daripada masyarakat terhadap inisiatif dan usaha PL dalam mengurus tadbir pulau ini agar menjadi sebuah pulau yang berdaya saing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas