Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Sebanyak 6,787 kekosongan jawatan jururawat setakat 31 Mac lalu

- Diterbit 26 Jun 2024 10:37 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 6,787 kekosongan jawatan jururawat melibatkan kekosongan jawatan sedia ada dan pewujudan jawatan baharu berikutan naik taraf dan pembinaan fasiliti baharu setakat 31 Mac lepas.

KKM berkata, pihaknya sedang melaksanakan proses pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi memastikan bilangan jururawat yang mencukupi di fasiliti yang berkenaan.

Menurutnya, pengambilan akan dibuat secara berfasa dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) serta graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Latihan KKM (ILKKM).

“Selain daripada usaha pengisian jawatan tersebut, KKM juga telah meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada 1,000 pelatih kepada 2,000 pelatih.

“Manakala penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

KKM menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai tindakan KKM menangani peletakan jawatan jururawat yang dilaporkan kerana tidak puas hati dengan gaji rendah dan bagaimana kementerian mengisi jawatan kosong jururawat yang agak banyak.

Tambahnya, KKM tidak mengambil ringan berhubung perkara tersebut kerana boleh mengganggu kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Dalam hal ini, KKM sentiasa dinamik untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memperbaiki persekitaran kerja, menimbang insentif dan kemudahan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi mengekalkan petugas kesihatan khususnya Jururawat dalam perkhidmatan KKM.

“Kerajaan juga sedang memuktamadkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menyemak semula gaji, insentif dan kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam termasuk pegawai yang berkhidmat dengan KKM.

“Inisiatif ini selari dengan Gagasan Malaysia MADANI yang sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan pekerja khususnya penjawat awam.

“Kesemua input dan cadangan daripada pegawai dan kesatuan telahpun dikemukakan untuk pertimbangan dalam kajian tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas