NILAI peratusan tertinggi dicatatkan iaitu sebanyak 35 peratus atau 94,827 orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 54 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dengan jumlah simpanan RM246.1 juta.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata bagi ahli dengan jumlah simpanan melebihi RM1 juta mencatatkan peratus terendah dengan 2 peratus atau 4,877 ahli dengan jumlah simpanan sebanyak RM7.9 bilion.
“Setakat 1 Januari tahun ini, terdapat 274,715 ahli KWSP berumur 54 tahun atau pun 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli KWSP (15.7 juta) dengan jumlah simpanan mereka bagi yang berumur 54 tahun itu sebanyak RM35.72 bilion.
“Sementara itu, sebanyak 8 peratus ahli KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM10,001-RM20,000, diikuti dengan RM20,001-RM50,000 (13 peratus), RM50,001-RM100,000 (12 peratus).
“Selain itu, sebanyak 13 peratus ahli KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM100,001-RM200,000, RM200,001-RM500,000 (13 peratus) dan RM500,001-RM1juta (4 peratus),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-Amanah) yang ingin mengetahui jumlah simpanan ahli-ahli KWSP yang berusia 54 tahun dengan dengan pecahan jumlah simpanan. – WILAYAHKU.