SEBANYAK 2,305 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidermiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 hingga 18 November lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata peratusan kes COVID-19 meningkat sebanyak 28 peratus berbanding 1,801 kes yang dilaporkan pada ME 45/2023 (5 hingga 11 November).
“Kadar kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit yang disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan menurun kepada 2.0 peratus bagi setiap 100,00 penduduk pada ME 46/2023 berbanding ME 45/2023.
“Pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula adalah sebanyak 0.7 peratus. Sehingga kini, situasi COVID-19 masih terkawal di Malaysia,” katanya hari ini.
Tambahnya, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes varian membimbangkan (VOC) dan satu kes varian yang perlu mendapat perhatian (VOI).
“Sehingga kini, sebanyak 785 kumulatif kes ‘currently circulating’ VOI iaitu XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5 dikesan yang terdiri daripada 783 kes tempatan dan dua kes import.
Dalam pada itu, KKM menyatakan pecahan kes merangkumi 143 di Sarawak, Selangor (136), Kuala Lumpur (119), Melaka(117), Johor (59), Kedah (52), Pulau Pinang (37), Terengganu (24), Sabah (23), Kelantan (21), Negeri Sembilan (16), Perlis (12), masing-masing sembilan kes di Perak dan Putrajaya serta lapan kes di Pahang. – WILAYAHKU.