Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Sebahagian bangunan SJK (T) Ladang Kinrara perlu dialihkan untuk pembinaan pangsapuri – DBKL

- Diterbit 23 Jun 2024 1:38 PM MYT

PEJABAT Tanah dan Galian (PTG) Selangor serta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) diarah untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menempatkan semula sebahagian SJK (T) Ladang Kinrara yang akan terjejas akibat pembinaan projek pangsapuri di kawasan itu.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan bahawa perintah pembangunan yang dipinda telah diberikan kepada Fajarbaru Land Sdn Bhd untuk membangunkan 1,604 unit pangsapuri Residensi Wilayah di Lot 101895, Jalan Mas, Daerah Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Sept 2021.

“Laporan penilaian kesan trafik yang dikemukakan oleh perunding projek itu mencadangkan supaya Jalan Mas dinaik taraf kepada empat lorong berikutan jangkaan peningkatan jumlah trafik sebaik sahaja pangsapuri itu dibina.

“Cadangan menaik taraf Jalan Mas akan melibatkan perobohan beberapa struktur yang dibina di atas rizab jalan antaranya sebuah kuil dan beberapa bangunan milik SJK (T) Ladang Kinrara,” katanya semalam.

Kata kenyataan itu, DBKL telah memaklumkan untuk merujuk isu lokasi kuil Hindu di Jalan Kinrara kepada Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Jabatan Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran untuk keputusan dan hala tuju.

Menurut DBKL, perkara itu diputuskan pada mesyuarat pada 7 Jun yang dipengerusikan oleh menteri wilayah persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan dihadiri oleh Prabakaran, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Kinrara Ng Sze Han, dan wakil SJK (T) Ladang Kinrara , kuil Hindu, agensi kerajaan, dan jabatan berkaitan di DBKL.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas