PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak menggunakan dana syarikat swasta untuk lawatan kerjanya ke empat negara sebelum ini.
Empat negara itu melibatkan Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.
Jelas beliau, kerajaan menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan berkenaan dengan kos RM1.6 juta.
“Ini guna wang kerajaan sepenuhnya.
“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tegas beliau, jika menggunakan jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara itu.
“Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta.
“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usaha terperangkap dalam fitnah ‘zaman edan’ (zaman gila),” katanya.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau memaklumkan lawatannya ke empat negara turut dibayar syarikat swasta yang mengikuti urusan berkenaan. – WILAYAHKU