PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata kesal dengan sikap sesetengah pihak yang berterusan menuduhnya mengiktiraf Israel susulan video sekerat-sekerat yang diambil dalam wawancara bersama CNN baru-baru ini.
Biarpun begitu, Perdana Menteri menegaskan beliau di pentas antarabangsa sudah menyatakan pendirian untuk tidak mengiktiraf Israel malah mengusulkan rejim zionis itu disingkirkan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah menurut Perdana Menteri, dalam ucapan di Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, beliau secara lantang mengatakan tindakan barbarian (tidak bertamadun) Israel mesti dihentikan.
“Tentang temu bual CNN, saya faham ia dipermainkan, saya tegaskan kalau dalam konteks PBB, itu (hak mempertahankan negara) dianggap hak kenegaraan (de facto), tetapi kita tidak iktiraf (Israel), dari awal, dari zaman Tunku Abdul Rahman sampai sekarang.
“Mana-mana negara (de facto) boleh pertahankan dirinya tetapi saya serang Israel habis-habisan, tak tahu apa cara lagi yang saya buat, di Riyadh, di Lima, di Rio de Janeiro, itu suara Malaysia paling keras.
“Saya tak faham mengapa perkara ini harus dipolitikkan. Padahal, kerajaan dulu, pesawat Israel pun boleh masuk (ruang udara), diberi kebenaran, ada tarikh, ada masa (rekod). Tak ada tanya pula, tak ada pula hukum. Kapal ZIM itu sehingga 2022, kapal perdagangan Israel masuk ke pelabuhan (Malaysia), itu realitinya, tetapi dok (asyik) sibuk serang saya juga,” katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai video wawancara CNN itu sehingga menimbulkan salah tanggapan pelbagai pihak khususnya Ahli Parlimen pembangkang.
Anwar berkata, jika ada pihak yang hanya mengambil ‘cebis-cebisan’ daripada temu bual CNN dengannya itu adalah satu tindakan tidak tepat.
“Kalau tak setuju satu dua perkataan itu tak mengapalah, saya tak mahu (berterusan) berbalah.
“Tetapi tidak benar untuk dikaitkan dan menghina kita (perjuangan Malaysia) dalam keadaan kita (ketika ini) berperang dalam isu ini (kekejaman Israel).
“Dan isu ini bagi saya bukan isu politik biasa, ini isu yang kita lahir daripada keyakinan kita dengan perjuangan berpuluh-puluh tahun,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, pihaknya turut kecewa dengan pihak yang memanggilnya munafik, berbohong kerana menampakkannya menyokong Israel dalam temu bual terbabit.
“Bagaimana boleh kata saya pertahankan (Israel) dalam saya mengatakan Israel itu barbaric (tidak bertamadun), ganas, zionis dan zalim.
“Itu pendirian kita,” tegasnya. – WILAYAHKU