Berita

‘Saya masih menyayangi Fazura’ – Fattah Amin

- Diterbit 14 September 2024 3:48 PM MYT

PELAKON Fattah Amin mengaku tiada wanita lain dalam hidupnya seperti yang didakwa dalam media sosial ketika ini.

Ini sekaligus menafikan dakwaan dia bersikap curang terhadap Nur Fazura sehingga  isterinya itu memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, semalam.

“Saya ingin menegaskan tiada wanita lain dalam hidup saya seperti diperkatakan dan dihebohkan di media sosial sehingga kini,” jelas Fattah kepada Harian Metro yang mengaku terkejut apabila hanya mengetahui isterinya itu memfailkan perceraian melalui media sosial.

“Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.

“Saya berasa amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz (panggilan Fazura),” katanya.

Dalam masa yang sama, Fattah berharap orang luar dapat mendoakan yang terbaik buat rumahtangganya.

“Walau apa pun yang terjadi, saya dengan rendah diri memohon doa yang baik-baik dan sokongan daripada kalian semua tidak kira yang pernah mengenali mahupun yang tidak mengenali kami secara peribadi.

“Moga segala urusan kami berdua dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik serta penuh ketenangan.

“Saya juga berharap agar tiada campur tangan daripada pihak lain yang boleh mengeruhkan lagi situasi ini. Terima kasih atas segala perhatian dan doa kalian,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi mendakwa Fattah curang bersama penata gaya tudung yang dikenali sebagai Syira Atiqah hangat diperkatakan netizen dalam media sosial.

Susulan itu, Instagram milik pelakon lelaki terbabit dibanjiri netizen apabila mereka ‘ambil bahagian’ sejurus berita perceraian pasangan itu dilaporkan media.

Menguatkan lagi perkara itu, pengawal peribadi aktres itu turut mendedahkan ada ‘penyondol’ yang menjadi pencetus konflik itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story, individu yang dikenali sebagai Shahaszrin itu berkongsi foto sedang makan bersama Fazura, pengurus Fazura iaitu Iman Tang, pembantu peribadi serta seorang wanita yang wajahnya ditutup menggunakan emoji haiwan.

Untuk rekod, pasangan itu sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Sumber: Harian Metro

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas