PENYANYI dan pelakon Nonny Nadirah mengejutkan ramai pihak apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa sihir sehingga mengalami gangguan teruk dan diancam secara halus.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Nonny, atau nama penuhnya Nonny Nadirah Zainuddin, 36, berkongsi kesakitan yang dialami dan memohon bantuan pihak polis
“Assalamualaikum Balai Polis Bukit Aman. Saya Nonny Nadirah Zainuddin diganggu teruk oleh sihir daripada golongan tiga.
“Di mana saya boleh membuat laporan? Terus menerus diancam secara halus. Dapat bantu saya tak?
“Langit dah bagitahu saya disihir teruk. Lillahi Ta’ala, saya tak gila. Allah cerita semua tentang perbuatan mereka,” tulisnya.
Apa yang lebih membimbangkan, Nonny turut memberitahu keluarganya menerima ancaman serupa, malah mengaitkan kematian bapa dan kakaknya dengan perbuatan khianat.
“Saya seorang, tuan. Asal dari Sabah, sekarang di Kuala Lumpur. Semua disekat secara halus, kesakitan secara halus.
“Tuan boleh ikuti kisah Chester Bennington Linkin Park atau Sulli artis Korea. Semua mati bunuh diri sebab sihir, tuan.
“Saya hanya boleh bersuara dalam media sosial. Saya tak tahan, sakit sangat sihir ini. Jumpa perawat pun kata tiada sakit, tapi Allah bagitahu memang ada,” luahnya.
Nonny turut merayu pihak berkuasa mengambil serius perkara ini kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan.
“Bapa saya dibunuh. Kakak saya dibunuh. Sekarang mereka ancam ahli keluarga saya yang lain.
“Saya hanya ada Allah, tuan. Saya hanya ada Allah. La haula wa la quwwata illa billah hil aliyyil azim,” luahnya.
Ini bukanlah kali pertama, Nonny sebelum ini pernah mendakwa berdepan dengan gangguan sihir sehingga wajahnya senget sebelah sekitar tiga tahun lalu. – WILAYAHKU