Berita

“Saya bukan Robin Hood” – PM

ANWAR beramah mesra bersama pelajar UPNM sejurus Program Temu Anwar di universiti tersebut.
- Diterbit 11 November 2024 6:26 PM MYT

TUDUHAN jahat yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba ‘mencuri’ daripada orang kaya lalu diberikan kepada orang miskin menerusi pelaksanaan rasionalisasi subsidi sengaja direka oleh pihak yang tidak berpuas hati.

Sungguhpun semua sedia maklum, apa yang dilakukan kerajaan hari ini bertujuan memastikan pengagihan subsidi dilakukan dengan lebih adil serta mengambil kira pendapatan individu.

Menurut PMX, Malaysia adalah antara beberapa buah negara di dunia ini yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai yang rendah.

“Jadi kita berikan subsidi kepada semua orang. Boleh anda bayangkan elektrik sebelum kita laksanakan program rasionalisasi subsidi. Orang kaya di negara ini dapat subsidi.

“Mereka ada 10, 15 pendingin hawa di rumah. Maksud saya ini tidak adil, adakah kita kenakan cukai tambahan? Tidak. Saya cuma kata anda bayar kos harga dan jangan terima subsidi. Bagi saya ia adil.

“Kita tidak mahu mencukaikan orang ramai. Jadi kita kenakan cukai yang sedikit dan kita tarik subsidi daripada orang kaya. Itu dilihat falsafah ekonomi Robin Hood iaitu ambil daripada yang kaya dan bagi kepada orang miskin. Ia bukan Robin Hood. Ia tarik subsidi sahaja (daripada orang kaya),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau akan sedaya upaya untuk meneraju negara ini dengan sebaik mungkin, demi kesejahteraan rakyat.

“Jika mereka ingin jadikan ini sebagai isu politik atau katakan kita tidak adil, itu adalah urusan mereka.

“Saya nak bagi yang saya sudah lama bertarung. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan laksanakan sebaiknya demi selamatkan negara ini dan selamatkan rakyat terbanyak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas