Berita

Saya bingung ada pihak pertahankan mereka yang korup guna hujah Melayu, Islam: Perdana Menteri

- Diterbit 24 November 2024 7:56 AM MYT

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan emosi kerasnya terhadap pihak yang kononnya dianggap sebagai pejuang bangsa dan agama tetapi boleh bangkit mempertahankan mereka yang korup dengan menggunakan hujah Melayu dan Islam.

Malah tegas Perdana Menteri, mereka ini seolah-oleh tidak mengizinkan tindakan badan-badan penguatkuasaan dalam membersihkan jijiknya amalan rasuah yang hampir menjadi sistemik dalam negara ini.

“Kalau dulu, pergilah ke mana-mana negara dunia, Malaysia dikenali sebagai negara yang korup. Kita mesti hapuskan.

“Tetapi jangan anggap ini mudah seperti kita lihat baru-baru ini (ada pihak) boleh menyinggung, orang yang kaya-raya, mahakaya, yang membolot kekayaan itu dipertahankan, saya kadang-kadang bingung bagaimana mungkin seorang pejuang bangsa dan agama boleh bangkit pertahankan yang korup menggunakan hujah Melayu dan Islam.

“Sebab itu jangan kita kelirukan (ramai pihak),” katanya dalam Townhall Bersama Perdana Menteri sempena sambutan dua tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur hari ini.

Sesi itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dengan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak selaku moderator.

Yang turut hadir isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Kabinet dan timbalan menteri serta perwakilan asing.

Anwar dalam pada itu turut menempelak pihak yang berterusan mencerca Kerajaan MADANI yang memerangi rasuah dan penyelewengan secara progresif serta melaksanakan pelbagai program demi pembangunan negara dan rakyat.

“Negara ini, kadang-kadang kita layan sangat yang mencuri, yang rompak, yang sakau, itu dipuja, tetapi yang kita (kerajaan) jalankan program cara bersih, itu dicerca.

“Ini dikatakan ‘jaman edan’ (zaman gila), separuh gila. Kita bersyukur alhamdulillah kita punyai negara dan tahap keamanan yang membanggakan. Tetapi jangan anggap ini suatu yang kekal, kalau kita tidak bertanggungjawab, mengizinkan simpang-siur (politik), porak-peranda oleh penghasut yang desperate (terdesak). Nak menang cara hujah yang munasabah, tidak boleh, yang boleh hanya maki dan hasut.

“Nak menang cara berhemah dan hikmah tidak mampu, maka caranya memfitnah, mengaibkan, ini pun belum cukup berjaya maka permainkan isu kaum dan sentimen agama atau puak atau kenegerian dan wilayah. Saya kena ingatkan Malaysia ini tegak kerana ada sikap tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa pun boleh menghasut sentimen kaum atau wilayah yang mudah dan menarik tetapi ia juga mudah memecahbelah dan memporakperandakan negara.

“Tiada negara di mana ada simpang-siur politik yang ribut yang mungkin berjaya dalam bidang ekonomi. Yang berjaya hanya menghancurkan kekuatan yang ada. Jangan permainkan isu-isu yang mungkin merosakkan.

“Sebab itu saya puji badan penguat kuasa, tak boleh lagi amalan-amalan dulu. Kamu ada kekayaan, kamu ada pengaruh, kamu bayar cukai kurang. Kamu ada kekayaan, kamu ada pengaruh, kamu bolotlah kekayaan berpuluh bilion pun, tiada siapa akan sentuh.

“Ini (amalan tersebut) mesti dihentikan dengan Kerajaan MADANI sekarang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas