MEMENANGI Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi tahun lalu, merupakan detik cukup berharga buat Yang Berhormat (YB) SUHAIZAN KAYAT.
Hal demikian kerana ia cubaan ketujuh beliau selepas tewas enam kali dalam siri pilihan raya yang pernah ditandinginya sebelum ini.
Menang di kerusi yang pernah disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pulai menjadi saksi hidup hubungan erat antara beliau dan Allahyarham dalam menguatkan kerja-kerja parti dan isu-isu nasional.
Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau turut menjawab beberapa isu termasuk didakwa ‘hilang’ daripada radar Parlimen Pulai.
SUHAIZAN Kayat ketika meninjau permasalahan dihadapi rakyat termasuk masalah perparitan di kawasan Parlimen Pulai.
Apa punca sehingga YB didakwa ‘menghilangkan diri’ selepas memenangi PRK Parlimen Pulai pada 9 September 2023?
Hampir setiap masa saya berada di Pulai kecuali jika ada sidang Dewan Rakyat di Parlimen. Dan jika ada lawatan di dalam dan luar negara sahaja saya berada di luar Pulai.
Hanya mereka yang tidak berada di Pulai sahaja yang mungkin menganggap saya hilangkan diri.
YB memenangi kerusi Parlimen yang pernah diwakili bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Mungkin ada amanat daripada Allahyarham yang menguatkan semangat YB untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik-baiknya?
Saya mengenali lebih dekat dengan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika beliau membawa saya menjadi Exco lantikan Dewan Pemuda PAS Pusat pada 2009. Hubungan saya semakin rapat semasa Allahyarham bertanding di Parlimen Pulai dan saya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada 2013.
Kami berdua kalah dalam pilihan raya tersebut. Tahun 2018 Allahyarham menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selepas memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum.
Saya menjadi Speaker DUN Johor.
Beliau pernah nyatakan pada saya, jika saya tidak menjadi Speaker, beliau mahu saya bantu beliau di kementerian.
Akhirnya tahun 2022. Allahyarham menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan beliau melantik saya sebagai Setiausaha Politik walaupun saya tidak pernah mohon jawatan tersebut.
Kepercayaan Allahyarham selama ini kepada saya menjadi penguat semangat untuk menggantikan beliau di Parlimen Pulai.
Selepas memenangi kerusi Parlimen Pulai, ramai menjangkakan YB akan dilantik menggantikan kerusi Kabinet yang kosong ekoran pemergian Allahyarham. Apa komen YB? Atau YB merasakan belum masanya atau belum cukup kuat pengalaman untuk menjadi menteri?
Dalam AMANAH masih ramai lagi senior yang lebih utama untuk dijadikan menteri. Kepimpinan adalah suatu amanah.
Kepimpinan boleh membawa penyesalan di akhirat jika tidak diuruskan dengan betul. Jika telah ada senior yang sanggup menggalas amanah negara, maka terlepaslah tanggungjawab saya.
Ia juga cubaan ketujuh YB dalam siri pilihan raya yang pernah ditandingi sebelum ini. Tapi orang kata memang kerusi itu kerusi selamat untuk YB. Komen YB? Atau inilah resipi paling baik apabila wujudnya persefahaman dan kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan?
Sokongan Pakatan Harapan (PH) di Pulai memang tinggi selepas PRU 2018. Sokongan PH bertambah pada 2022. Perikatan Nasional (PN) pula sangat lemah di Johor.
Ditambah dengan sokongan Barisan Nasional (BN) maka menjadikan kerusi Pulai adalah kerusi yang selamat.
Kebetulan juga saya sudah berada di Pulai sejak 2008 maka lebih mudahlah untuk saya memahami sosiopolitik masyarakat Pulai.
Ramuan inilah yang memberikan kemenangan besar dalam PRK 2022 Pulai walaupun turn out agak rendah.
YB dikritik kerana merasmikan besi penutup longkang di sebuah sekolah di Johor. Boleh YB perjelaskan apa sebenarnya motif atau hikmah di sebalik perasmian yang dipersenda pembangkang itu?
Saya sebenarnya melaksanakan hasrat sekolah rendah di Perling yang telah menyediakan gimik pelancaran longkang sekolah.
Peruntukan daripada Parlimen Pulai ini besar jumlahnya melibatkan puluhan ribu untuk menutup longkang di empat blok sekolah.
Selama ini ramai pelajar terlibat dengan kemalangan.
Sebagai tanda penghargaan sekolah, saya telah dijemput di upacara perasmian yang cukup meriah melibakan ramai pelajar sekolah. Tak molek rasanya untuk saya menolak ucapan terima kasih daripada pihak sekolah. Saya pun faham jika menteri yang melancarkan program ini tentulah tidak sesuai.
Tetapi bagi seorang Ahli Parlimen saya fikir tiada masalah. Saya rasa pembangkang tidak faham konteks program ini menyebabkan mereka mempersendakannya.
Apa fokus utama YB di Dewan Rakyat selain membawakan isu-isu setempat bagi Parlimen Pulai?
Selain isu setempat saya akan membawa isu-isu kesihatan bersesuaian dengan jawatan saya sebagai Pengerusi Kesihatan Parlimen Malaysia. Saya terlibat dengan perbahasan penyakit berjangkit. Isu kesesakan hospital, pendigitalan hospital, cabaran kakitangan hospital, pendanaan kesihatan dan lain-lain isu kesihatan adalah menjadi keutamaan saya.
Ketika berkempen, YB menyatakan akan memberi fokus membantu menangani isu banjir kilat di beberapa kawasan di kerusi Parlimen diwakili YB. Bagaimana perkembangan usaha YB itu?
Pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah sama-sama membantu menyelesaikan masalah banjir kilat di Pulai.
Contohnya di Kampung Pasir, JPS sedang melaksanakan penukaran pam automatik bernilai jutaan ringgit untuk mengelak banjir.
Perlebaran sungai dan meninggikan tembok Sungai Melana di Tampoi Utama. Meninggikan tebing sungai Chat untuk mengelakkan banjir di Kampung Mat Amin. Menambah kapasiti pam di muara Sungai Chat untuk memudahkan air keluar ke laut.
SWcorp telah menangkap pembuang sampah haram di tapak yang tidak dibenarkan di Kampung Tuah Jaya Perling untuk mengelak banjir kilat akibat sampah yang terlalu banyak.
Bagaimana pula dengan isu ramai anak-anak muda yang mencari pekerjaan di Singapura? Apa yang YB lihat mengenai situasi ini?
Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) pada Disember ini.
Ia akan memberi peluang 100,000 pekerjaan baru kepada anak muda. Mereka tidak perlu ke Singapura untuk bekerja. Mereka boleh kerja di Malaysia tetapi gaji setanding dengan pekerjaan di Singapura.
Jangka hayat Kerajaan Perpaduan mengikut perkiraan YB?
Jangka hayat Kerajaan Perpaduan akan panjang bergantung kepada ahli-ahli komponen yang ikhlas dan setia berkongsi kemenangan. Pada waktu ini pimpinan utama Kerajaan Perpaduan menunjukkan komitmen yang tinggi menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Politik yang stabil, ekonomi yang semakin kukuh, perpaduan semakin baik dan keyakinan antarabangsa semakin meningkat.
Pertukaran hari minggu di Johor daripada Jumaat, Sabtu kepada Sabtu, Ahad. Apa isu-isu besar yang mendasari perubahan ini dilakukan?
Dalam menuju JSSEZ maka Johor perlu menyeragamkan cuti hujung minggu seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Jika tidak maka Johor kehilangan hari Jumaat dan Ahad setiap minggu.
Johor hanya dapat mengembang ekonominya empat hari seminggu sahaja. Ini tiada berdaya saing. Terdapat masalah kepada keluarga yang mempunyai pasangan yang bekerja kerajaan dan swasta. Mereka hanya ada satu hari sahaja bercuti iaitu hari Sabtu. Anak-anak menjadi mangsa cuti keluarga yang berbeza.
Walau bagaimanapun terdapat sedikit kesukaran kepada anak-anak sekolah untuk bersolat Jumaat tanpa bimbingan ibu atau bapa mereka. Bagi sekolah bersama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) perlu merangka strategi untuk mereka menjadi pembimbing anak-anak khususnya darjah satu hingga tiga dan menyediakan kenderaan yang bersesuaian pergi menunaikan solat Jumaat.
Dalam Islam juga tidak ditentukan waktu cuti hujung minggu mesti hari Jumaat sahaja. Terpulang kepada pemerintah masing-masing. – WILAYAHKU