PENYANYI berbakat besar, Pasya akui bengang terhadap seorang wanita Arab yang cuba menipu dan memungkiri janji.
Bukan itu sahaja, insiden yang berlaku semalam di Jalan Alor Bukit Bintang (Kuala Lumpur) ketika Pasya ‘busking’ juga menyebabkan Pasya atau nama sebenarnya Faizul Asyraf Fauzi, 27, nyaris ditumbuk oleh seorang lelaki daripada sekumpulan pelancong warga Iran.
“Mulanya kami ‘busking’ di hujung jalan ini sebelum didekati perempuan berkenaan yang mahukan kami menyanyi berdekatan dengan meja makannya bersama beberapa rakan lain.
“Sebelum itu, sudah dimaklumkan bahawa jika mahu kami berpindah tempat, ada caj lain yang dikenakan kerana perlu mengangkut peralatan muzik dan kelengkapan sistem audio.
“Kami kenakan caj RM200 dan dia terus setuju tanpa ada sebarang bantahan. Jadi kami pun mengemaskan barang untuk beralih kedudukan.
“Selesai kami membuat persembahan khas untuk perempuan tadi serta rakan-rakannya, seperti biasa ahli kumpulan saya akan membawa tabung untuk mengutip bayaran.
“Bagaimanapun, ketika tabung kami tiba di meja tempat perempuan Arab itu duduk, dia tidak menepati janjinya untuk membayar caj yang dipersetujui tadi.
“Bahkan, satu sen pun dia tak nak bayar!” cerita Pasya yang mula dikenali menerusi program Mentor 7.

Menurut Pasya, wanita itu bukan hanya tidak mahu membayar malah mula meninggikan suara dan menengking ahli kumpulan buskernya.
Malahan, keadaan mula menjadi kecoh apabila wanita Iran terbabit menuduh Pasya dan dua lagi ahli busker lain melakukan peras ugut dengan meminta wang sebanyak RM200.
Bertambah buruk, desakan dilakukan tiga pemuzik itu terhadap wanita berkenaan menyebabkan rakan lelakinya tiba-tiba bangun dan memberi amaran kepada Pasya akan menumbuknya jika tidak beredar.
Pertengkaran yang disaksikan ramai itu tidak lama kemudian mendapat campur tangan peniaga kedai makan di Jalan Alor itu serta beberapa individu tempatan yang menyebelahi Pasya dan kumpulannya.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki Iran yang kelihatan sedikit berusia cuba menenangkan kedua-dua pihak dan mengajak Pasya berbincang.
“Setelah menerangkan perkara sebenar tentang syarat bayaran dipersetujui wanita tadi, barulah lelaki itu faham dan mengarahkan salah seorang rakannya membuat pembayaran secara atas talian,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU