KABINET di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu permulaan yang baik untuk Kerajaan Madani dalam menjadi pengemudi yang kredibel pada masa akan datang.
Penganalisis Politik, Ts Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, Anwar sudah bersiap sedia memikirkan perkara tersebut sepanjang setahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX).

“Menggalas tanggungjawab berat ini saya yakin beliau telah melihat dengan lebih teliti daripada semua sudut termasuklah dilema yang berlaku, rungutan, maklum balas atau apa sahaja daripada semua pihak.
“Disebabkan itulah maka rombakan ini lebih meluas bukan sekadar untuk mengganti menteri bahkan turut melibatkan banyak kementerian selain pewujudan empat kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam (pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) selain Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
“Saya fikir, kementerian yang dipisahkan contohnya Kementerian Komunikasi dan Digital adalah terdiri daripada kementerian yang kompleks dan pemisahan tersebut kemungkinan untuk memastikan fungsi ditambah baik. Jadi, ia adalah suatu yang perlu dan wajar,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Tambah beliau, rombakan tersebut juga bertepatan setelah melihat prestasi menteri dan kementerian yang diwakili sebelum ini sekali gus jelas memperlihatkan kebersanan mereka apabila menerajui satu-satu kementerian.
Mengulas lanjut tentang pertukaran portfolio Dr Zaliha Mustafa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Syed Agil berkata pengalaman sebelum ini dapat dijadikan satu asas yang baik.
“Saya percaya pengalaman semasa menjadi Menteri Kesihatan dapat diaplikasikan untuk mengurus dan mentadbir portfolio baru yang berkaitan dengan Wilayah Persekutuan.
“Biarpun terdapat perbezaan dari sudut kesihatan dan dalam masa yang sama latar belakang beliau adalah seorang doktor namun itu bukan satu masalah yang rumit.
“Cuma sekarang beliau perlu melihat dengan lebih jauh dari segi tanggungjawab untuk merangka usaha dan memakmurkan lagi Wilayah Persekutuan antaranya untuk membasmi kemiskinan bandar seluruh negara dan melaksanakan program kesejahteraan bandar,” ujar beliau. – WILAYAHKU