DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan satu lagi insiden tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India pada pukul 2.30 pagi tadi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata sebagai langkah keselamatan DBKL telah menutup kawasan kejadian menggunakan tali keselamatan dan penghadang air (water barrier).
Jelas beliau tindakan segera telah diambil oleh DBKL dengan penglibatan pihak Indah Water Konsortium (IWK) yang kini memeriksa paip kumbahan di lokasi tersebut serta di kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kerosakan lanjut.
“Kami akan terus bekerjasama erat dengan IWK serta agensi-agensi lain untuk memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku di masa hadapan.
“DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur adalah menjadi keutamaan. – WILAYAHKU