SERAMAI satu juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman secara sukarela melibatkan jumlah RM11.16 bilion, setakat Oktober tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam tempoh sama juga seramai 288,000 ahli aktif formal KWSP telah mendaftar dan mencarum melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja.
Menurut beliau, melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman Akaun Persaraan (dahulunya Akaun 1) yang bertujuan sebagai simpanan persaraan telah ditingkatkan sebanyak 75 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini.
“Ini dilihat mampu mempercepat ahli mencapai simpanan asas,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai strategi kerajaan memastikan pencarum mempunyai jumlah simpanan mencukupi selepas bersara.
Amir Hamzah berkata, simpanan asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada usia 55 tahun.
Katanya, simpanan asas itu membolehkan ahli memperoleh jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan.
“Namun kesan daripada gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.
“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkatkan sehingga RM2,728 pada usia 75 tahun,” katanya.
Beliau menambah, setakat 31 Oktober lalu, 2.65 juta (36.2 peratus) daripada 7.33 juta ahli aktif formal berusia 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur berbanding 2.21 juta (30.4 peratus) daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.
Mengenai soalan tambahan sama ada kerajaan bercadang untuk melanjutkan umur persaraan kepada 65 tahun, katanya, ia memerlukan penelitan yang rapi dan teliti sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat dasar kerajaan.
Katanya, had umur persaraan di negara ini ialah 60 tahun bagi sektor awam dan swasta berdasarkan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 sejak 2013. – WILAYAHKU