BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui dalam hidupnya sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan.
Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform TikTok, Siti atau nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, akui suatu hari beliau berhasrat mahu fokus kerja amal dan memasang impian untuk menetap di Makkah.

Menurut Siti, dia berserah kepada Allah sepenuhnya.
“Apa pun kita buat, niat kerana Allah. Kadang-kadang kalau nak menyanyi pun, saya ingat Allah juga.
“Walaupun saya tahu, ada yang cakap suara itu aurat, saya serah pada Allah,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu Anta Permana itu berharap agar suatu hari dia tidak lagi diperlukan untuk berada di atas pentas.
“Saya sentiasa berdoa supaya suatu hari nanti, saya tidak perlu lagi berada di atas pentas untuk menyanyi.
“Mungkin saya boleh buat kerja-kerja amal. Saya pun ada impian nak duduk di Mekah. Nak menghabiskan usia di sana. Setiap orang ada impian begitu juga dengan saya.
“Apa-apa pun, kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Akhirnya apa yang kita minta adalah khusnul khatimah. Sama-sama kita doakan agar kita semua dapat pengakhiran khusnul khatimah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti yang baru muncul dengan lagu Raya Nak Ke Mana? itu aktif dalam melakukan kerja amal seperti membantu mereka yang memerlukan menerusi Yayasan Nurjiwa miliknya bersama suami, Datuk Seri Khalid. – WILAYAHKU