KERAJAAN telah menetapkan sasaran baharu di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) iaitu peningkatan penyertaan dan penguasaan Bumiputera melalui ekuiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada 20 peratus menjelang 2035.
Kementerian Ekonomi berkata, sasaran baharu itu ditetapkan berbanding penguasaan 18.7 peratus pada 2020.
“Dalam hal ini, kerajaan akan meningkatkan program kesedaran pemilikan dan penjanaan kekayaan kepada orang awam dan pemegang taruh dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.
“Oleh yang demikian, langkah strategik dalam meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui PuTERA35 itu turut melibatkan GLC, GLIC dan syarikat swasta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai perancangan kerajaan dalam menjamin peningkatan kepada pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera.
Kementerian Ekonomi menambah, PuTERA35 memberi penekanan terhadap tiga teras utama iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
Katanya, teras ini disokong oleh 12 pemacu dalam isu dan cabaran Bumiputera.
“Di bawah pemacu lima iaitu peningkatan pemilikan ekuiti, kerajaan telah menggariskan lapan ikhtiar dalam usaha memperluaskan pegangan ekuiti dan peguasaan yang efektif, terutama melibatkan pegangan saham atau ekuiti Bumiputera.
“Antara ikhtiar ini termasuklah memperkukuh institusi pembiayaan ekuiti, pasaran modal dan dana amanah rakyat selain memperkenalkan dana pemangkin (catalyst fund) bagi meningkatkan prestasi syarikat korporat di Malaysia dan menambah baik pelaksanaan Akta Syarikat 2016 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan pemunya benefisial (beneficial ownership) termasuk aspek penguatkuasaan,” katanya.
Tambah kementerian itu, selain itu, kerajaan akan turut memberikan tumpuan terhadap usaha untuk meningkatkan penyenaraian lebih banyak syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia serta memantau pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera terutama di bawah agensi mandat Bumiputera. – WILAYAHKU