Putrajaya

Sasar jana jualan RM10 juta

ANJUNG Syawal berlangsung selama 33 hari sehingga malam Aidilfitri.
- Diterbit 7 Mac 2025 5:28 PM MYT

ANJUNG Syawal yang diadakan selama 33 hari bermula 28 Februari lalu di Dataran Putrajaya menyasarkan jualan merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran menjangkau nilai RM10 juta.

Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata sasaran itu berupaya dicapai kerana bazar Aidilfitri yang terbesar di Lembah Klang itu memasuki penganjuran tahun ke-13 yang sentiasa ditunggu-tunggu ramai.

“Pihak kami jangka mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan penduduk di luar Kuala Lumpur yang membolehkan setiap lot niaga menjana jualan sebanyak RM30,000.

“Kami berjaya menjual 320 lot niaga di Anjung Syawal dengan bayaran sewa penuh di mana ia melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot niaga. Apa yang mengejutkan, tawaran lot niaga ini hanya dibuka secara rasmi pada awal Januari lalu,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Beliau berkata sambutan menggalakkan ini berjaya menepis dakwaan bazar Aidilfitri tahun 2025 tidak akan meriah seperti kebiasaan namun sebaliknya sambutan lot niaga di Anjung Syawal.

“Ini kerana terdapat isu yang dimainkan di media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak gemar membeli secara fizikal lagi,” katanya.

Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, Rayme berkata pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun-temurun di negara ini.

“Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen Pangkin Tradisi dan Serambi Santai bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirahat.

“Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini, khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga.

“Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan dengan bayaran rendah disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3, Putrajaya bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung.

“Tambahan pula lokasi ini menjadi pilihan orang ramai setiap tahun kerana ia berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memudahkan mereka menunaikan solat berjemaah dan juga bersolat tarawih,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas