SERAMAI 10,000 peserta dijangka menyertai Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang bakal berlangsung pada 8 hingga 10 Oktober ini, kata Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man.
Menurutnya, MIT Pahang yang akan diadakan di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre Kuantan merupakan platform terbaik buat para penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara untuk bertukar pendapat.
Beliau berkata program itu turut membuka peluang perdagangan dalam industri pelancongan.
“Bukan itu sahaja, ianya juga menjanjikan peluang yang luas dalam aspek ekonomi, budaya dan dimensi pelancongan yang strategik secara global,” katanya pada sidang media di Hotel Ramada Suites by Wyndham Bangunan Berkembar Petronas (KLCC).
Dalam pada itu, Yu Man berkata antara aktiviti yang bakal berlangsung pada MIT Pahang 2024 seperti persidangan berimpak tinggi dan sesi Business to Business (B2B) bagi semua pempamer serta pembeli premium.
Beliau berkata turut diadakan aktiviti seperti Gala Night Dinner di Club Med Cherating, wacana dan pembentangan, lawatan berjadual bagi para pempaper serta pembeli.
“Lebih daripada 1000 undangan kepada pembeli global, ditaja dan diundang,” katanya.
Menurut Yu Man lagi antara objektif penganjuran MIT Pahang adalah menyediakan platform B2B kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama antara satu sama lain.
Beliau berkata program itu juga dapat mewujudkan platform pengetahuan bagi pakar industri dan perniagaan pelancongan untuk bertukar idea dan memperoleh pandangan baharu ke arah masa depan industri pelancongan.
“Menggalakkan pemain industri menghargai dan memelihara warisan budaya dan ekologi rantau ini sebagai produk pelancongan premium.
“Menyediakan platform yang menarik bagi penyatuan pelbagai pemain industri pelancongan termasuk perkhidmatan dan produk sokongan untuk pelbagai aktiviti pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Yu Man berkata MIT Pahang akan dipromosikan sebagai destinasi perhimpunan perniagaan industri pelancongan tahunan yang dinanti-nantikan bagi rantau ASEAN. – WILAYAHKU