SARAWAK dilihat mempunyai potensi besar dalam menjadi hab sukan utama, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata ia berikutan kelancaran penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang sedang berlangsung menjadi bukti kesediaan Sarawak untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang lebih besar seperti Sukan SEA.
“Saya optimis dengan pelaburan berterusan dalam kemudahan sukan dan pembangunan atlet, Sarawak akan menjadi venue sukan terkemuka untuk Malaysia.
“Maka kalau ada penganjuran sukan seperti ini, Sarawak diberi pertimbangan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Pusat Skuasy bagi menyaksikan acara separuh akhir di sini, pagi tadi.
Ditanya sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu maklum balas daripada kementerian lain yang berkaitan.
“Kami sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Setelah mendapat maklum balas mereka, kami akan membentangkan cadangan itu kepada Kabinet untuk keputusan muktamad.
“Pada masa ini, tiga negeri telah menawarkan untuk membantu dengan penganjuran: Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang. Sarawak telah mencadangkan untuk menampung 50 peratus daripada kos penganjuran,” tambahnya. – WILAYAHKU