PEMBERIAN geran daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan pada Jun lalu merupakan satu pengiktirafan kepada usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Sarawak dalam membangunkan sektor pembangunan tenaga menerusi hidrogen.
Menurut seorang pensyarah yang berasal dari Kuching, Sarawak, Dr Suffian Mansor, kesungguhan membangunkan tenaga hidrogen itu merupakan matlamat utama Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Suffian yang juga merupakan Pensyarah Kanan Program Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata langkah itu juga salah satu usaha mempelbagaikan sumber ekonomi Sarawak untuk menjana pembangunan ekonomi masa depan.
“Dalam pada itu usaha bersungguh-sungguh kerajaan Sarawak ini dijelmakan dengan beberapa kajian yang menarik minat negara luar untuk memberi sokongan.
“Hal ini akan meletakkan Sarawak sebagai salah satu negeri yang berpotensi menjadi negeri maju,” katanya.
Pada 10 Jun lalu, Kerajaan Sarawak menerima geran daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan bagi melaksanakan kajian pembangunan hala tuju hidrogen di negeri itu.
Abang Johari berkata geran berkenaan yang disalurkan kepada Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar membolehkan satu pelan tindakan komprehensif dilaksanakan untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen.
Tanpa mendedahkan jumlah geran yang diterima, Abang Johari berkata pemberian geran oleh Kerajaan Korea Selatan itu menunjukkan komitmen Sarawak untuk memacu peralihan tenaga secara kolektif mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sementara itu, Suffian berkata tenaga dari hidrogen itu juga akan diguna pakai dalam sektor industri dan domestik di Sarawak.
Beliau berkata apa yang menariknya nanti Sarawak bakal menjadi pengeluar atau pengeksport kepada tenaga hidrogen menjelang tahun 2027.
“Cita-cita untuk ke arah itu telah lama dirancang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Ini merupakan satu perkara yang harus dicontohi negeri-negeri lain,” katanya.
Tambah Suffian, apa yang penting adalah pembangunan dan kemakmuran negeri untuk rakyat.
Beliau berkata idea itu dipegang oleh kerajaan negeri Sarawak pimpinan Abang Johari.
“Di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan masalah politik telah dapat diredakan dan pembangunan dapat digerakkan dengan baik.
“Ini juga kerana kestabilan Kerajaan Negeri Sarawak yang dapat mengurus pembangunan dan kemajuan negerinya dengan baik,” katanya.
Jelasnya sejak awal Abang Johari memimpin Sarawak, matlamat utama beliau adalah ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negeri Sarawak.
Beliau berkata oleh itu Abang Johari melontarkan idea yang mempunyai potensi pembangunan masa depan seperti ekonomi digital hingga kepada pembangunan kepada sektor tenaga hidrogen.
“Dengan cara ini beliau dapat membangunkan Sarawak dalam pelbagai aspek terutamanya jalan raya dari hasil ekonomi sumber hidrogen ini.
“Beliau mahu pembangunan jalan raya menghubungi semua kawasan di Sarawak dibina dan ini akan mendatangkan hasil lumayan bagi pembangunan negeri dan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Selain itu, Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching yang sedang dijalankan merupakan sistem pengangkutan moden berkuasa hidrogen. – WILAYAHKU